suria

Sanchez Dedah Bercakap 20 Minit Dengan Ferguson

Sanchez mendedahkan bahawa dia telah lama memberitahu Ferguson tentang hasratnya menyertai United. -fotoGetty

ALEXIS Sanchez mendedahkan bahawa dia telah lama bercakap dengan Sir Alex Ferguson untuk menyertai Manchester United, sebelum melengkapkan perpindahannya ke Old Trafford.

Perpindahan pemain dari Chile itu disahkan secara rasmi pada Isnin dalam perjanjian yang melibatkan Henrikh Mkhitaryan berhijrah ke Arsenal.

Sanchez mendedahkan bahawa Jose Mourinho merupakan faktor utama di sebalik keputusannya menyertai United.

Tetapi pemain berusia 29 tahun itu juga mendakwa dia telah memberitahu Ferguson tentang keinginannya untuk beralih ke Old Trafford.

"Sejak muda lagi, saya selalu simpan impian bermain dengan Manchester United dan saya tidak menyatakannya kerana saya di sini sekarang dan hari ini ia menjadi kenyataan," kata Sanchez kepada MUTV.

"Sejak muda, saya selalu menyatakan hasrat bermain dengan kelab ini dan saya pernah bercakap dengan Sir Alex Ferguson tentangnya.

"Kami bercakap selama kira-kira 20 minit. Saya memberitahunya bahawa impian saya adalah untuk datang ke Manchester United.

"Ia benar-benar kelab yang sangat besar, sangat kuat dan sekarang, apabila saya dapat peluang datang ke sini, bulu roma saya meremang bila melihat lencananya kerana ia adalah kelab yang hebat dan terbesar di England."

Ditanya apakah dia terus berfikir tentang United selepas bercakap dengan Ferguson, yang menyambut Sanchez di Manchester pagi Isnin, pemain itu menjawab: "Memang betul. Saya selalu bermotivasi dengan kelab ini, dengan warna merahnya yang selalu menonjol bagi saya.

"Dan apa yang saya kata ini benar-benar datang dari hati, seperti impian menjadi kenyataan.

"Saya berasa sangat gembira dan saya sangat gembira berada di Theatre of Dreams," katanya. -metroUK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Hazard Beri Conte Amaran!

Artikel Lain