suria

Pemain Ragbi George Smith Ditahan Di Jepun

George Smith. Foto rugby.com.au

TOKYO: Pemain ragbi warga Australia, George Smith yang bermain untuk kelab Suntory Sungoliath di Tokyo, ditahan di Jepun, kata pemilik pasukan, Suntory pada Rabu.

Akhbar harian Yomiuri Shimbun, memetik sumber berkaitan dengan siasatan polis, berkata Smith yang mabuk ditahan selepas enggan membayar tambang teksi kira-kira 10,000 yen ($90.23) dan melarikan diri, dan kemudian menumbuk pemandu teksi yang mengejarnya dalam kejadian selepas tengah malam 31 Disember lalu.

Menurut Yomiuri, Smith, 37, bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Suntory Holdings Ltd dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan itu. 

"Memang benar George Smith, di bawah kontrak dengan pasukan ragbi kami, telah ditahan," kata syarikat itu.

"Kami memohon maaf kepada mangsa, serta orang lain yang berkaitan."

Smith membuat kariernya secara profesional pada 2000 bersama ACT Brumbies. - Reuters

George Smith, Suntory Sungoliath

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain