suria

JDT Lancar Jersi Baharu Musim 2018

BANGGA. Empat pemilik terawal jersi baharu JDT Musim 2018 Hasanuddin Harun (kiri), 54, Remy (dua, kiri), 33, Mohd Fazli (dua, kanan), 35, dan Haizan Hasanuddin (kanan), 20, ketika Majlis Pelancaran Jersi JDT Musim 2018 di Dataran Bandaraya Johor Bahru malam Jumaat.-fotoBERNAMA

JOHOR BAHRU: Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim  (JDT)  melancarkan jersi baharu bagi musim Liga Malaysia (Liga-M) 2018 di Dataran Bandaraya, di sini, malam Jumaat.

Pelancaran jersi baharu tersebut disempurnakan oleh Presiden JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan disambut meriah dengan kehadiran ramai penyokong kelab berkenaan walaupun cuaca ketika itu hujan renyai.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues berkata pihaknya  amat berbesar hati menjadi rakan kongsi kepada sebuah kelab yang memiliki rekod terbaik di Malaysia.

"Jersi baharu musim ini agak istimewa kerana didatangkan dengan tiga warna iaitu merah bagi perlawanan di tempat lawan, biru bagi tuan rumah dan jersi alternatif berwarna biru cair," katanya dalam kenyataan di sini.

Antara yang turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim.

Jersi baharu berkenaan akan digunakan oleh JDT pada saingan Liga Super, Johor Darul Ta'zim II yang beraksi di Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim III bagi saingan Piala Presiden dan Johor Darul Ta'zim IV yang beraksi dalam saingan Piala Belia.

Penyokong boleh mendapatkan jersi baharu itu yang dijual di seluruh daerah dengan harga RM215 sehelai bagi jersi tuan rumah dan perlawanan di tempat lawan manakala jersi alternatif berharga  RM179. -Bernama

JDT, jersi JDT, jersi JDT 2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain