Sesiapa Pun Boleh...

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong bersedia bergandingan dengan mana-mana atlet terjun dalam misi menambah kilauan pingat di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

Bagi Pandelela beliau tidak cerewet dalam menentukan siapa pasangannya tetapi paling penting atlet itu perlu memberikan persembahan yang konsisten dalam pertandingan.

"Saya boleh bergandingan dengan mana-mana penerjun, tetapi beliau harus beri persembahan konsisten. Selain itu, pasangan saya mesti memberi kerjasama baik.

"Dalam hal ini, jurulatih akan menentukan pasangan saya. Bagi saya pemain senior atau junior, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan mempunyai prestasi yang bagus," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Tiga kejohanan utama tahun depan adalah Sukan Komanwel Gold Coast pada April, Sukan Asia Indonesia (Ogos) dan Piala Dunia Terjun (tarikh dan tempat belum diputuskan).

Penerjun  berusia 24 tahun itu pernah bergandingan dengan atlet senior seperti Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong dan beliau juga bergandingan dengan penerjun muda seperti Nur Dhabitah Sabri dan Gabriel Gilbert Daim.

"Setakat ini pasangan saya rajin dan konsisten, mereka mempunyai target mereka sendiri. Senior atau pelapis bagi saya kedua-duanya memberikan komitmen yang baik.

"Prestasi penerjun remaja semakin meningkat dan saya yakin mereka akan naikkan darjah kesukaran terjunan tidak lama lagi dalam persiapan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan," katanya.

Pandelela merupakan atlet pertama bagi sukan terjun yang meraih pingat emas di Sukan Komanwel edisi 2010 di India dalam acara 10m platform individu.

Empat tahun selepas itu, beliau memenangi pingat perak dalam acara yang sama dan pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama gandingan bersama Nur Dhabitah Sabri di Glasgow, Scotland.

Bagi Sukan Asia pula beliau menang pingat perak bergandingan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama dan pingat gangsa (10m platform individu) pada 2010 di Guangzhou, China.

Selepas itu, Pandelela turut meraih pingat gangsa bagi acara 10m platform seirama gandingan bersama Mun Yee pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan. - BERNAMA

Pandelela Rinong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

City Tak Bimbang!

Artikel Lain