suria

Fadhli Kapten Harimau Malaya

Fadhli Shas.

BURIRAM: Pemain pertahanan Fadhli Shas akan mengetuai pasukan Malaysia dalam perlawanan kelayakan Piala Asia malam Jumaat menentang Korea Utara di i-Mobile Stadium di sini, menggantikan Safiq Rahim yang digantung satu perlawanan.

Ketua jurulatih pasukan negara Nelo Vingada yang membuat pengumuman itu berkata, sebagai pemain kebangsaan paling senior, Fadhli merupakan pemain terbaik untuk mengetuai pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan pada 8 malam (waktu tempatan), malam Jumaat.

"Oleh kerana pasukan ini terdiri daripada ramai pemain muda, kami memerlukan pemain senior seperti Fadhli yang mempunyai karekter yang kuat untuk mengetuai pasukan. Saya pasti beliau akan melaksanakan tugasnya dengan penuh keyakinan,” katanya kepada kumpulan wartawan Malaysia di sini Jumaat.

Selain perlawanan malam ini, Malaysia dan Korea Utara akan berdepan sekali lagi pada Isnin depan dalam perlawanan kelayakan kedua mereka di stadium sama.

Safiq, yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Hong Kong sebelum ini, akan kembali sebagai kapten pasukan dalam perlawanan Isnin ini, kata jurulatih dari Portugal itu.

Ketika ditemui, Fadhli, pemain JDT, berkata beliau terkejut dengan keputusan Vingada yang memilih beliau sebagai kapten bagi perlawanan itu, namun menyifatkannya sebagai satu penghormatan dan akan melaksanakan tugas itu dengan sebaik-baiknya.

"Siapa yang menjadi kapten tidak penting, tetapi yang paling penting adalah setiap pemain menjalankan tugas mereka malam ini untuk memastikan kemenangan kita ke atas Korea Utara dan mencerahkan lagi peluang kita untuk melayakkan  diri,” katanya. - BERNAMA

Harimau Malaya, Fadhli Shas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Liga Divisyen 4 Bakal Diperkenal

Artikel Lain