suria

Khairul Hafiz Tidak Tersenarai Ke Podium

KUALA LUMPUR: Atlet pecut negara Khairul Hafiz Jantan sekali lagi tidak disenaraikan dalam Program Podium.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata atlet berusia 19 tahun itu tidak disenaraikan ekoran masih belum memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Katanya catatan masa terbaik Raja Pecut Asia Tenggara itu iaitu 10.18 saat yang juga rekod kebangsaan, masih jauh di belakang berbanding pelumba peringkat Asia dan Komanwel.

“Kalau kita lihat di Sukan SEA, dia (Khairul Hafiz) dapat pingat emas. Tapi berdasarkan catatan masa untuk acara 100m di peringkat Asia, Khairul Hafiz di kedudukan kesembilan manakala catatan terbaik Sukan Komanwel pula, beliau pada kedudukan ke-60.

“Begitu juga dalam acara 200m, di peringkat Asia, Khairul Hafiz di kedudukan ke-18, manakala di peringkat Sukan Komanwel, ke-36.

“Kalau beliau dalam top 6 atau 10, mungkin kita boleh lonjakkan prestasi ke tahap lebih tinggi. Tapi di kedudukan masa yang agak jauh ketinggalan, sukar untuk kita perbaiki,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman senarai nama atlet Program Podium bermula 2018 di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Abdul Azim menegaskan pemilihan atlet untuk disenaraikan ke program elit itu adalah ketat selaras dengan matlamat negara mahu melahirkan atlet yang konsisten dan lestari.

Khairul Hafiz menunjukkan pingat emas yang dimenanginya pada acara larian 100 meter Sukan Sea yang berlangsung baru-baru ini.

Katanya, pelbagai garis panduan dan perbandingan dibuat sebagai penilaian kepada prestasi atlet yang dicadangkan oleh persatuan sukan dan bukan hanya berdasarkan memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA 2017, Ogos lepas.

“Kita lihat prestasi, di mana kedudukan mereka di peringkat Asia, Sukan Komanwel dan Olimpik...merangkumi catatan masa, jumlah markah untuk sukan tertentu, jarak lompatan atau ketinggian.

“Kalau kesemua itu agak jauh ketinggalan daripada ukuran yang kita tetapkan, atlet tidak memenuhi kriteria pemilihan,” katanya.

Selain Khairul, turut diketepikan daripada senarai baru Podium adalah kuartet 4x100m negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail memberi jaminan bahawa MSN sentiasa bersedia untuk membantu atlet yang berpotensi meraih pingat buat negara.

Katanya, MSN melalui Jawatankuasa Kerja akan meneliti potensi atlet yang digugurkan daripada program podium untuk diserapkan di bawah program MSN.

“Atlet yang keluar, kita akan pertimbangkan yang boleh kita bantu untuk potensi meraih pingat di Sukan SEA 2019 dan 2021.

“Kita juga akan bantu untuk mereka dapat kembali ke program Podium,” katanya. - Bernama

Khairul Hafiz

Artikel Sebelum

Keputusan Kelayakan Piala AFC 2019

Artikel Berikut

Artikel Lain