suria

Marquez Idam Gelaran Dunia Ke-4 Di Sepang

Marquez (kanan) diperhatikan Rashid Sidek ketika sesi perlawanan persahabatan bersama bekas pemain badminton negara sempena kejohanan Grand Prix Motosikal Malaysia di Stadium Tertutup Veledrom Nasional pada Rabu. fotoBERNAMA

NILAI: Pendahulu Kejohanan MotoGP Dunia 2017, Marc Marquez berharap dapat mengekalkan gelaran dunia buat kali keempat pada perlumbaan Motosikal Grand Prix Shell Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Pelumba Honda dari Sepanyol itu yang kini mendahului kejohanan dengan 269 mata, kelebihan 33 mata mengatasi pesaing terdekatnya Andrea Dovizioso dari Ducati selepas menamatkan saingan di Philip Island, Australia minggu lepas, mahu memberi tumpuan penuh untuk mendapatkan kedudukan teratas bagi meraih gelaran itu.

Dengan maksimum 50 mata yang dipertaruhkan, 25 mata masing-masing semasa peringkat kedua terakhir di SIC dari 27 hingga 29 Oktober dan final di Valencia dari 10 hingga 12 November, juara bertahan Marquez bagaimanapun menyedari akan cabaran pelumba Itali yang muncul juara di Sepang tahun lepas.

“Sudah tentu saya akan berhadapan cabaran sukar daripada Dovi (Dovizioso) dan pelumba lain kerana MotoGP tahun ini agak menggilakan, pertunjukannya luar biasa, setiap perlumbaan adalah perlawanan antara pelumba terbaik. Ini juga penting buat peminat dan sebagai pelumba, kami sukakannya.

“Di sini kami hampir ke kejohanan. Saya mahu fokus dan cuba berusaha daripada latihan bebas, konsisten dan bersedia untuk perlumbaan, pada Ahad kami akan lihat di mana kedudukan kami dan penting untuk menamatkan perlumbaan serta mengumpul mata untuk kejohanan ini,” katanya kepada pemberita.

Marquez, yang memenangi tiga gelaran juara dunia pada musim 2013, 2014 dan 2016 ditemui pemberita selepas perlawanan persahabatan badminton di Velodrome Nasional di sini.

Beliau berpasangan dengan pemenang pingat gangsa Olimpik Atlanta 1996 Rashid Sidek menentang Juara Dunia MotoGP tiga kali Jorge Lorenzo dari Ducati dan pemenang pingat perak beregu lelaki Olimpik Atlanta 1996, Yap Kim Hock.

Mengenai litar, Marquez menjangkakan perlumbaan yang sengit dan keadaan cuaca yang mencabar pada hujung minggu ini akan menjadikan ia antara perlumbaan paling sukar musim ini.

“Semua orang tahu litar itu dengan baik, memandangkan kami ada enam hari latihan semasa  pramusim, jadi kami melakukan banyak pusingan… Semua pelumba mempunyai banyak kilometer, mereka tahu rahsia litar ini. Ia sangat panas, hangat di atas motosikal, sangat sukar bagi keadaan fizikal,” katanya.

Sementara itu, rakan senegaranya Lorenzo yang berada di tempat ketujuh dengan kedudukan 117 selepas menempuh musim yang sukar, hanya mendapat dua podium dengan tempat ketiga selepas menamatkan perlumbaan di De Espana dan Aragon, berharap dapat mengulangi pencapaian tahun lepas  dengan satu lagi podium.

“Minggu lepas agak malang, menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 bukanlah kedudukan yang kami jangka, kami berharap dapat melakukan lebih baik di sini. Saya berhadapan dengan banyak masalah untuk menyesuaikan diri dengan motosikal baharu kerana Ducati sangat berbeza (daripada Yamaha).

"Saya juga perlu mengubah gaya menunggang saya dan bekerjasama dengan pasukan untuk mendapat lebih keyakinan,” katanya. - BERNAMA

MotoGP, Marc Marquez

Artikel Sebelum

Chong Wei Kecundang Lagi

Artikel Berikut

Artikel Lain