suria

Tuah Gol 'Kala Jengking' Giroud

SEPAKAN ala kala jengking ketika meledak gol buat Arsenal menentang Crystal Palace musim lalu memberi tuah kepada Olivier Giroud apabila dinobatkan pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2017, awal pagi Selasa.

Pemain antarabangsa Perancis itu mengetepikan pemain antarabangsa wanita Venezuela, Deyna Castellanos, dan penjaga gol Baroka, Oscarine Masuluke, dengan jaringannya di Stadium Emirates.

Giroud menjaringkan gol voli cantik dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 1 Januari lalu apabila menghasilkan pusingan akrobatik dengan melonjakkan kaki kirinya bagi menyempurnakan hantaran Alexis Sanchez.

Giroud yang mengakui itu adalah gol terbaik pernah dilakukannya bagaimanapun berkata jaringan tersebut tidak akan dihasilkan tanpa bantuan daripada rakan sepasukan.

“Ini satu penghormatan buat saya dan saya gembira menerima trofi ini hari ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengundi saya. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada tiga (finalis), yang turut menjaringkan gol menakjubkan.

“Sudah tentu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan saya -- tanpa mereka, saya tidak dapat menjaringkan gol ini," katanya.

Giroud, Puskas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain