Atlet KL2017 Meriahkan HSN Edisi Ketiga - Sukan | mStar

Atlet KL2017 Meriahkan HSN Edisi Ketiga

Sambutan Hari Sukan Negara di Putrajaya.

KUALA LUMPUR: Berbeza daripada dua penganjuran sebelum ini, Kementerian Belia  dan Sukan (KBS) menampilkan kelainan pada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) edisi ketiga dengan penglibatan atlet di negeri masing-masing bagi menyemarakkan sambutan acara tahunan itu.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali berkata atlet yang terlibat itu antaranya yang mengharumkan nama negara pada temasya Sukan SEA dan Sukan Para Asean Kuala Lumpur (KL2017) yang lalu.

“Kehadiran mereka di setiap negeri dan lokasi yang terpilih secara tidak langsung memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara tahun ini,” katanya pada sidang media selepas perasmian HSN 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu.

Mengenai penyertaan HSN kali ini, KBS menyasarkan sejumlah dua juta rakyat Malaysia turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan pada tahun ini.

Untuk edisi kali ini KBS menggunakan pendekatan berbeza yang mana penganjur menggalakkan rakyat melakukan aktiviti sendiri bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Kami turut membuka secara percuma semua kemudahan sukan di bawah seliaan KBS,” katanya.

Edisi pertama Hari Sukan Negara mencatat penyertaan berjumlah 5.1 juta orang disusuli tahun kedua 7.6 juta orang.

Hari Sukan Negara disambut pada Sabtu kedua setiap Oktober bermula 2015 dengan tujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan budaya bersukan.- Bernama

HSN2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel