suria

Klasik CIMB: Gavin Tekad Raih Gelaran Sulung

KUALA LUMPUR: Pemain golf terkemuka negara, Gavin Kyle Green berazam untuk muncul pemain Malaysia pertama merangkul kejuaraan kejohanan golf Klasik CIMB, yang akan bermula Khamis sehingga 15 Oktober di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara.

Pemain berusia 23 tahun itu yang membawa cabaran Malaysia pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil, mempamerkan prestasi cemerlang musim ini dengan memenangi gelaran Jelajah Asia pertamanya di Taiwan Masters, 1 Oktober lepas.

“Sudah tentu ia sesuatu yang hebat (muncul juara) dan pencapaian membanggakan bagi Malaysia. Namun pada masa yang sama saya perlu melaksanakan tugas dengan baik di sini.

“Sebenarnya ia sesuatu yang menggembirakan jika dapat memenanginya. Tetapi, saya perlu memberikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Gavin kini dalam motivasi tinggi untuk meneruskan momentum cemerlangnya, dan bagi saingan esok, dia akan memulakan cabaran bersama-sama juara dua kali yang juga penyandang gelaran, Justin Thomas dan Xander Schauffele, kedua-duanya dari Amerika Syarikat, dalam satu ‘flight'.

“Pencapaian yang hebat musim ini. Saya memperoleh Kad Jelajah Asia. Saya dua kali di tempat kedua dan ia pencapaian konsisten. Pada mulanya di tempat kedua, diikuti di kedudukan kedua lagi dan saya gembira akhirnya dapat merangkul kejuaraan dua minggu lepas.

“Beraksi dalam satu ‘flight; bersama-sama mereka (Thomas dan Schauffele), saya tidak merasakan ia memberi tekanan kerana saya pernah bersaing dengan mereka sebelum ini," katanya.

Gavin mengakui prestasinya semakin baik dan meningkat pada setiap kejohanan yang disertainya.

Juara Order of Merit, Scott Hand dari Australia, serta beberapa pemain berpengalaman seperti David Lipsky dari Amerika Syarikat dan pemain terkemuka India, S.S.P. Chawrasia, juga akan bersaing pada Klasik CIMB yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US7 juta (kira-kira RM29.50 juta).- Bernama

Gavin Kyle Green

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain