suria

KL2017: Tiga Atlet Gagal Ujian Doping

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Tiga atlet yang terlibat pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu termasuk seorang daripadanya merupakan pemenang pingat emas dari Malaysia dipercayai gagal ujian doping.

Menurut laporan media pada Selasa, atlet negara itu merupaka penerjun wanita.

Bagaimanapun, Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chan enggan mendedahkan secara terperinci perkara itu sehingga siasatan selesai.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, Ketua Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF),  Datuk Dr SS Cheema berkata, ujian makmal yang dilakukan di New Delhi mendapati terdapat bahan larangan dalam sampel A semua atlet tersebut.

“Kita menerima laporan daripada makmal di New Delhi dua minggu lalu yang mengesahkan kewujudan bahan larangan pada tiga atlet yang menyertai KL2017.

“Namun kita tidak boleh membuat kesimpulan dengan mengatakan kesemua atlet berkenaan bersalah sehingga siasatan menyeluruh dilakukan pihak berkaitan,” katanya kepada Bernama.

Dr Cheema yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia berkata beliau tidak boleh memberitahu nama atlet tersebut dan negara mereka kerana ia akan menjejaskan imej mereka.

Beliau berkata, kesemua atlet terbabit akan diberi pelung untuk mencabar sampel B sebelum tampil di hadapan Jawatankuasa Pendengaran SEAGF.

"SEAGF akan menarik balik pingat sekiranya sebarang atlet ini memenangi pingat dan persekutuan antarabangsa bagi acara sukan tersebut akan memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil sekiranya para atlet berkenaan gagal ujian doping,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan memandangkan siasatan masih dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab.

"Saya tak nak komen lebih lanjut kerana tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia setakat ini dan saya berharap pihak media dapat tunggu kenyataan rasmi daripada mereka.

"Kebiasaannya apabila terdapat kes doping yang dilaporkan di kalangan atlet negara, MOM akan menghantar surat kepada persatuan berkenaan menyatakan atlet mereka terlibat dalam kes ini sebelum ia dimaklumkan kepada atlet berkenaan dan kita hanya memantau sahaja perkembangan kes berkenaan," jelas Ahmad Shapawi.

Bernama sebelum ini melaporkan sejumlah 799 sampel air kencing dan 32 sampel darah telah diambil daripada atlet yang beraksi pada KL 2017. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ibrahimovic Diberi Amaran

Artikel Lain