suria

Pahang Sah Naib Juara Liga Super

Pemain Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar (tengah) menendang bola sambil dihalang oleh penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal pada saingan Liga Super di Stadium Negeri, malam Rabu. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pahang muncul naib juara Liga Super musim ini setelah menang tipis 1-0 ke atas wakil Terengganu, T-Team pada aksi ke-21 Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam Rabu.

Jaringan tunggal Matheus Alves Leandro pada minit ke-78 membolehkan skuad Tok Gajah mengutip 39 mata dengan baki satu perlawanan sebelum Liga Super musim ini melabuhkan tirai.

Dalam pada itu, Sarawak menghidupkan peluang keluar daripada zon penyingkiran setelah menewaskan Kedah 4-2 pada aksi di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.

Empat gol Sarawak dijaringkan oleh Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-53, Mateo Roskam (sepakan penalti pada minit ke-58 dan gol padang minit ke-64) dan Mohd Hairol Mokhtar pada minit ke-76.

Kedah pula meraih gol menerusi sentuhan penyudah Ken Ilso Larsen seawal minit kelapan dan Baddrol Bakhtiar pada masa kecederaan babak pertama perlawanan.

Terdahulu, Kedah terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Baddrol menerima kad merah kerana melakukan terjahan keras ke atas Nur Shamie Iszuan pada minit ke-74.Turut mengutip tiga mata penuh adalah pasukan Perak yang menewaskan Pulau Pinang 1-0 hasil jaringan Mohd Nizad Ayub pada minit ke-24 pada aksi di Stadium Perak, Ipoh.

Pulau Pinang sah tersingkir ke saingan Liga Perdana 2018 setelah hanya mampu mengutip 12 mata daripada 21 perlawanan untuk kekal di tangga tercorot daripada 12 pasukan Liga Super.

Di Stadium Hang Jebat, pasukan Melaka meneruskan rentak kemenangan setelah mengatasi Selangor 2-1.

Melaka selesa mendahului 2-0 pada babak pertama perlawanan menerusi jaringan dua pemain importnya, Jasmin MecinoviC pada minit kelima dan Marko Simic pada minit ke-42 sebelum Selangor mengurangkan defisit jaringan hasil sentuhan penyudah pemain import dari Sepanyol, Rufino Segovia del Burgo pada minit ke-59.

Sementara itu, Kelantan menghampiri zon penyingkiran setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan berdepan PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Satu lagi perlawanan Liga Super di antara JDT dan Felda United yang sepatutnya diadakan pada Rabu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang telah ditukar ke Stadium Shah Alam, Khamis.- BERNAMA

Liga Super

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain