Kenapa Botak? - Sukan | mStar

Kenapa Botak?

PETALING JAYA: Dua pemain Terengganu membotakkan kepala mereka bagi menunaikan nazar kejayaan pasukan itu mengesahkan kemaraan ke pentas Liga Super musim depan.

Pemain tengahnya, Mohd Faiz Mohd Nasir dan penyerang, Abdul Latiff Suhaimi dilihat membotakkan kepala mereka di bilik persalinan sejurus tamat aksi menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), malam Selasa.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, skuad penyu menang mudah 3-0 ke atas PDRM.

Tiga gol skuad Penyu dijaringkan Mohd Faiz pada minit ke-19, Tchetche Hermann Brice Kipre (minit ke-35) dan Issey Nakajima-Farran (minit ke-57).

Beberapa keping gambar kedua-dua pemain itu turut dikongsi di laman Facebook Terengganu FA untuk tatapan peminat.

Tindakan tersebut turut mendapat pujian di kalangan penyokong pasukan tersebut.

Malah ada penyokong turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas kejayaan Terengganu kembali berentap di pentas Liga Super musim depan.

Terengganu beraksi di pentas Liga Super pada musim 2006 hingga 2016 sebelum tersingkir ke Liga Perdana 2017 selepas menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan dengan kutipan 19 mata.

Turut mengiringi Terengganu beraksi dalam Liga Super adalah pendahulu Liga Perdana, Kuala Lumpur yang turut melakar kemenangan 2-0 ke atas Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kuala Lumpur, malam Selasa.

Kedua-dua pasukan berkongsi 47 mata namun Kuala Lumpur kekal mengungguli carta Liga Perdana menerusi perbezaan jaringan, dengan baki satu perlawanan.

nazar , Terengganu FA

Artikel Sebelum

SIC Agih 5,400 Tiket Percuma

Artikel Berikut

Ifwat Akmal Luah Isi Hati

Lebih Artikel