suria

Pesan Tun Aminah: Tunjukkan Suasana Sebenar Di Larkin

PETALING JAYA: Penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) digesa supaya hadir menyaksikan perlawanan penting antara pasukan Harimau Selatan itu menentang Kelantan di Stadium Larkin, malam Rabu.

Presidennya, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkata kehadiran penyokong pasukan tuan rumah amat penting kerana ia bukan sahaja dihadiri penaja sedia ada, tetapi turut melibatkan bakal penaja skuad tersebut yang akan hadir menyaksikan perlawanan itu.

"Penyokong Harimau Selatan perlu hadir memenuhi Stadium Larkin malam ini (Rabu) bukan sahaja disebabkan pasukan JDT akan menjulang piala Liga Super buat kali keempat berturut-turut.

"Namun terdapat ramai penaja-penaja daripada luar negara yang telah menaja dan yang ingin menaja kelab, hadir menyaksikan perlawanan dan sambutan kejuaraan JDT ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Jelas Tun Aminah, kesemua yang hadir pada aksi penting malam itu merupakan individu berpengaruh dan penting dalam dunia bola sepak yang menyokong dan percaya kepada projek JDT.

"Jadi penyokong harus tunjukkan kepada penaja-penaja kita dan seluruh negara suasana sebenar di Larkin," katanya.

Sementara itu, Tun Aminah turut berharap agar pemain dapat mempamerkan persembahan menakjubkan untuk disaksikan penyokong dan juga para penaja JDT.

Meskipun sudah bergelar juara, JDT tetap menyifatkan pertemuan dengan Kelantan amat penting dalam usaha mengekalkan rekod bersih pasukan itu di gelanggang sendiri.

Ketua jurulatihnya, Ulisses Morais, berkata kemenangan merupakan misi utama JDT walaupun sudah bergelar juara.

"Kami tidak mahu pemain gembira terlalu awal kerana masih ada perlawanan yang perlu diharungi dan dimenangi," katanya.

Kelantan yang menduduki tangga kesembilan turut bertandang ke gelanggang lawan dengan misi memburu mata penting bagi memastikan pasukan itu kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu adalah presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan.

Artikel Sebelum

Mekanik Motor Raih Perak

Artikel Berikut

Artikel Lain