suria

Trofi Liga Super Baharu Diperkenal, Lebih Eksklusif

PETALING JAYA: Pasukan juara Liga Super musim ini bakal menjulang trofi yang baharu.Trofi liga utama Malaysia ini  direkabentuk dan dihasilkan teliti dengan tangan oleh tukang-tukang yang mahir dari tukang emas DiRaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, trofi ini menjadi petanda era baharu bolasepak Malaysia.

"Malah ia juga juga menjadi aspirasi kejayaan buat 12 pasukan yang bertanding di dalam Liga Super.

"Terima kasih atas perkenan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Pengerusi FMLLP untuk membuat trofi baharu yang telah dirancang sejak tahun 2015 lagi," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tunku Ismail melihat trofi baharu Liga Super.

Trofi Liga Super ini julung kali akan dijulang oleh juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas perlawanan menentang Kelantan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Rabu malam.

Untuk rekod, JDT merupakan juara Liga Super buat musim keempat berturut-turut.

Dalam pada itu, hasil penyelidikan dan buah fikiran FMLLP telah diserapkan ke dalam reka bentuk dengan setiap elemen membawa definisi tersendiri, untuk menjadikan trofi ini sejajar dengan nilai permainan bola sepak.

Trofi baharu ini diperbuat daripada tembaga, perak dan emas tulen 24k.


Berdiameter 252mm di bahagian tapak dengan ketinggian 633mm dan berat 20 kilogram berserta nama pemenang tahunan akan diukir di bahagian bawah belakang trofi. Logo pasukan juara dipateri di bahagian pusat trofi menjadikan ianya tampak eksklusif.

Konsep trofi baharu ini lebih kepada futuristik dan elegan, trofi baharu ini direka seolah-olah figura meraikan kejayaan mengungguli liga, dengan menjadikan era baharu sebagai detik permulaan.

Simbolik trofi ini melambangkan kekuatan dan dinamisme 12 pasukan yang bertanding merebut piala paling berprestij yang melayakkan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Manakala warna emas pula sinonim dengan dominasi, iaitu hanya pasukan yang layak sahaja boleh merangkul trofi ini setelah penat lelah mencapai kemenangan demi kemenangan untuk menjuarai liga.

Tofi Liga Super

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Liga 2017

Artikel Berikut

Artikel Lain