suria

Tunggakan Gaji Kuantan FA: Tunggu Respons Fifa

Skuad The Seagulls.

PETALING JAYA: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sedang menunggu maklum balas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berhubung aduan tiga pemain import Kuantan FA yang mendakwa tidak dibayar gaji sejak 11 bulan lalu.

Presiden PFAM, Hairuddin Omar berkata, laporan rasmi berhubung perkara itu telah dihantar kepada Fifa pada 4 Ogos lalu.

"Kita dah hantar aduan secara rasmi kepada Fifa dalam surat bertarikh 4 Ogos lalu. Sekarang kita hanya tunggu maklum balas daripada mereka untuk tindakan susulan," katanya kepada mStar Online.

Bekas penyerang Kelantan itu bagaimanapun enggan mendedahkan identiti tiga pemain import tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata, dua daripada mereka masih bersama Kuantan FA, manakala seorang lagi adalah bekas pemain kelab Liga Perdana itu.

"Maaf saya tak boleh dedahkan identiti pemain. Apa yang saya boleh katakan dua masih mewakili pasukan Liga Perdana, manakala seorang lagi bekas pemain," katanya.

Hairuddin Omar.

Hairuddin turut menegaskan dakwaan bahawa isu tunggakan gaji itu tidak membabitkan kesemua pemain skuad The Seagulls.

"Setakat ini hanya tiga pemain import yang tampil buat aduan pada 3 Julai lalu. Selebihnya saya tak tahu sebab tiada sebarang aduan diterima khususnya dalam kalangan pemain tempatan lain," katanya.

Susulan itu, beliau turut menggesa mana-mana pemain Kuantan FA yang berdepan masalah sama supaya membuat aduan secara rasmi kepada PFAM.

"Mereka kena buat aduan kepada PFAM... kalau setakat mengadu di Facebook itu tidak dianggap sebagai aduan rasmi. Jadi pemain kena buat aduan segera jika mengalami masalah sama supaya kita boleh bantu mereka.

"Dengan adanya aduan rasmi itu kita boleh ajukan masalah ini kepada Jawatankuasa Status FAM. Berbeza dengan pemain import, jika ada masalah mereka boleh buat aduan kepada Fifa," katanya.

Selepas pendedahan mengenai isu tersebut dalam forum Face Off bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa, Hairuddin berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Kuantan FA mengenai perkara itu.

"Kita dah hantar surat minta penjelasan daripada Kuantan FA pada 5 Julai lalu tapi tiada respons. Kalau mereka ada masalah ia boleh dibawa berbincang bukannya terus berdiam diri. Apa-apa masalah boleh diselesaikan secara baik," katanya.






Fifa, Kuantan FA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain