suria

FAM Dedah Punca Tan Cheng Hoe Tinggalkan Kedah

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendedahkan punca sebenar Tan Cheng Hoe dilantik menjadi penolong ketua jurulatih Harimau Malaya.

Menurut Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bekas pengendali skuad hijau kuning itu sendiri yang menawarkan diri untuk menjadi membantu ketua jurulatih kebangsaan Nelo Vingada.

"Selepas pelantikan baharu presiden, kami ingin membawa semangat baharu dengan melantik jurulatih luar. Namun pada masa sama kita perlukan anak tempatan untuk membantu jurulatih asing untuk tahu budaya, mentaliti dan sebagainya.

"Kami mempunyai beberapa nama dan dalam masa sama membuka tawaran kepada yang berminat supaya menghubungi kami.

"Orang pertama yang datang adalah Tan Cheng Hoe. Saya suka Cheng Hoe dan memanggilnya datang ke rumah.

"Kami bercakap apa yang terjadi dan berbincang semua perkara, termasuk gaji," ujarnya ketika menjawab soalan mengenai Kedah tidak lagi 'bernafsu' selepas Tan Cheng Hoe diambil FAM dalam program 'Face Off' Tunku Mahkota Johor dan Shebby Singh secara langsung di Facebook Johor Southern Tigers, Selasa malam.


Jelas Tunku Ismail, ramai penyokong menunding jari kepadanya seperti ada konspirasi untuk menjatuhkan Kedah apabila mengambil Cheng Hoe.

"Seolah-olah saya menggunakan FAM untuk menjatuh prestasi Kedah. Jika saya tawarkan RM100 ribu kepada Cheng Hoe, itu boleh dikatakan saya ingin jatuhkan Kedah kerana menggunakan duit untuk motivasinya.

"Cheng Hoe menerima tawaran yang sama (seperti sebelum ini) untuk menjadi pembantu jurulatih kebangsaan. Tetapi dia kata, Kedah FA membayar cukai untuknya.

"Saya cakap kalau datang untuk pasukan negara dia perlu bayar sendiri. Itu bermakna berada di Kedah lebih baik daripada di sini (FAM).

"Namun Cheng Hoe menerima tawaran kerana dia memang nak kerja dengan pasukan kebangsaan sebab dia tidak nampak (rancangan) Kedah untuk jangka panjang. Kerana apabila esok tukar  bendahari atau menteri besar semua benda akan jadi lain," jelasnya panjang lebar.

Tambah Tunku Ismail lagi, perkara tersebut berlaku kerana masalah dalaman.

"Secara asasnya masalah tidak konsisten dalam kelab dan persatuan masing-masing. Salah siapa kalau pemain atau jurulatih nak berpindah...salahkan diri sendiri, siapa tak suruh jaga mereka?," jelasnya.

Program Face Off tersebut merupakan perbincangan mengenai bola sepak negara dan negeri dalam pelbagai sudut. Turut hadir sebagai panel termasuk Kevin Ramalingam (Ketua Eksekutif Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad), Hairuddin Omar (Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia), Keeshaanan (Fourth Official) dan Remi (Tefo Arena).

Tunku Ismail, Tan Cheng Hoe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Amboi Mesranya Mereka!

Artikel Lain