suria

Marcos Direhatkan, JDT Tak Panik

Marcos Antonio tidak akan diturunkan menentang Sarawak kerana masih bergelut dengan kecederaan.

PETALING JAYA: Pemain pertahanan Johor Darul Tazim (JDT), Marcos Antonio akan direhatkan menjelang aksi Kumpulan D Piala Malaysia menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, malam Sabtu.

Perkara itu disahkan Ketua Jurulatih JDT, Ulisses Morais dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers pada Sabtu.

"Berkenaan kecederaan yang dialami oleh Marcos, dukacita dimaklumkan bahawa dia tidak dapat diturunkan untuk beraksi bertemu pasukan Sarawak," katanya.

Difahamkan Marcos masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami ketika menentang Perak pada aksi Liga Super, Rabu lalu.

Pemain berusia 34 tahun itu tidak dapat bermain sepenuh masa dan posisinya digantikan Aidil Zafuan pada minit ke-80.

Namun, Morais berkata beliau tetap menaruh sepenuh kepercayaan terhadap sesiapa sahaja yang akan menggantikan posisi Marcos malam ini.

"Kami amat yakin untuk perlawanan ini serta kami tahu apa yang perlu dilakukan dan di mana sasaran kami," katanya.

Jelas beliau, persiapan bertemu Sarawak sedang giat dilakukan dengan anak buahnya menjalani sesi latihan dan pemulihan dalam masa yang agak singkat.

Bagaimanapun, Morais berkata beliau tidak panik kerana pemain sudah tahu tugas masing-masing.

"Ia tidak terlalu membimbangkan saya kerana pemain tahu tanggungjawab masing-masing dan apa yang perlu mereka lakukan," katanya.

Bagi aksi peringkat Kumpulan D, JDT menduduki tangga kedua selepas ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Selangor.

Pada 18 Julai lalu, JDT tewas 2-3 di tangan Selangor.

Pada aksi malam Sabtu, JDT dilihat mempunyai kelebihan ketika berdepan Sarawak yang menduduki tangga tercorot kumpulan dengan hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan.

Marcos

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Neymar Setuju Sertai PSG?

Artikel Lain