suria

Skuad Terjun Bakal Miliki Kolam Latihan Sendiri

Khairy melihat pingat yang dimenangi Jun Hoong pada Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest Hungary semasa majlis sambutan meraikan Wira Negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Isnin. fotoBERNAMA

SEPANG: Skuad terjun negara akan mendapat kolam terjunan tersendiri yang lengkap dengan peralatan dan kemudahan untuk latihan berdekatan dengan 'dry gym' di Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil di sini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata penerjun negara tidak lagi perlu berulang-alik ke China bagi menjalani latihan apabila kerja-kerja pembinaan kolam renang untuk penerjun dijangka bermula selepas temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan depan.

“Tidak salah melabur dalam sukan yang boleh mengharumkan nama negara seperti sukan terjun,” katanya pada sidang media ketika menyambut kepulangan skuad terjun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Budapest, Hungary, Isnin.

Beliau menggesa kerajaan negeri membuat pelaburan membina fasiliti sukan terutama dalam sukan-sukan yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang di peringkat dunia, bukan hanya terhad kepada sukan terjun sahaja.

Katanya, kebanyakan pelapis negara dikenal pasti dalam peringkat negeri sebelum bakat mereka dikembangkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Mengulas mengenai kejayaan penerjun negara, Cheong Jun Hoong meraih gelaran juara dunia selepas menang pingat emas acara 10m platform individu wanita di Kejohanan Akuatik Dunia FINA di Budapest, Khairy berkata kejayaan tersebut akan menjadi asas kepada kejayaan akan datang.

“Ia adalah kejayaan hebat di Sukan Olimpik tahun lepas tetapi  kali ini ia di luar jangkaan. Jadi saya harap skuad terjun akan kekal sukses dan meraih pingat emas di Sukan SEA nanti,” katanya.

Gelaran juara dunia pertama sukan terjun Malaysia diperoleh selepas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama bersama Pandelela Rinong Pamg mengumpul 397.50 mata untuk memastikan lagu ‘Negaraku' berkumandang di Duna Arena, Budpest. - BERNAMA

skuad terjun, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain