suria

Kotakan Janji Atau Saya Angkat Kaki - Benitez

Rafael Benitez.

RAFAEL Benitez mendesak pemilik Newcastle Mike Ashley untuk mengotakan janjinya mengenai dana perpindahan pemain.

Namun jika janji itu tidak dipenuhi, Benitez mengancam mahu meninggalkan kelab dan akan menerima tawaran lebih lumayan di China.

Pengurus kelahiran Sepanyol itu bersetuju untuk kekal bersama Newcastle selepas pertemuan dengan Ashley yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar bagi memperkuat pasukan itu.

Namun Benitez kecewa kerana proses perpindahan pemain amat perlahan dengan Jacob Murphy dari Norwich menjadi pemain ketiga mereka pada minggu ini.

Murphy berhijrah ke St James Park dengan perpindahan bernilai 12.5 juta pound sterling.

Dan kini Benitez terpaksa memberi tekanan kepada Ashley supaya memenuhi permintaannya sebelum ini.

"Apabila saya bertemu dengan Mike Ashley saya yakin kami ada wang. Segalanya sudah diatur untuk bergerak ke hadapan. Saya harap Mike akan kotakan janjinya dan kami boleh melakukan apa yang kami mahu.

"Pada Januari kami tidak membawa masuk mana-mana pemain tetapi kami sudah ada dana sebanyak 30 juta pound sterling pada masa hadapan. Jadi sekarang proses itu amat perlahan tapi saya yakin segalanya akan berjalan dengan lancar selepas bertemu dengan Mike.

"Dia kata dia akan berikan segala wang yang dia ada, jadi saya harap dia akan melakukannya dan saya yakin dia akan tunaikannya," kata Benitez.

Malah, Benitez mengugut untuk meninggalkan kelab itu jika apa yang diminta tidak dipenuhi.

"Saya boleh angkat kaki dan dapat lebih banyak wang. Jika anda pergi ke China, anda boleh dapat tawaran lumayan.

"Namun keutamaan saya untuk kekal. Saya putuskan untuk kekal demi penyokong, kelab dan keluarga," katanya.

Benitez dilaporkan berang kerana bidaan terhadap penyerang Chelsea Tammy Abraham dan penjaga gol Manchester City, Willy Caballero tidak dilakukan sebelum mendapat tawaran daripada kelab lain.

Kedua-duanya telah pun menyertai Swansea dan Chelsea.

Rafael Benitez, Newcastle

Artikel Sebelum

Bayern Lupakan Sanchez

Artikel Berikut

Artikel Lain