suria

KFA Mohon Tangguh Latihan Skuad B-22

Aminuddin Omar.

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan menghantar surat kepada Ketua Jurulatih skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee pada Selasa, bagi menangguhkan penyertaan lima pemain muda negeri ini daripada menyertai kem latihan skuad itu.

Setiausaha Kehormatnya Datuk Aminuddin Omar berkata panggilan ke atas lima pemain muda itu meletakkan Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff dalam keadaan dilema untuk melepaskan pemain-pemain berkenaan.

"Kami akui amat tersepit antara khidmat untuk negara dan tanggungjawab kepada negeri, tetapi pada saat kritikal macam ini terutama selepas tewas kepada Perak 2-3 (Liga Super) pada 1 Julai lalu di laman sendiri, Kedah tidak mahu kehilangan khidmat hampir separuh daripada skuad kerana ia akan menjejaskan rentak pasukan.

"Dengan ketiadaan tonggak utama yang mengalami kecederaan, KFA merayu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar memberi kelonggaran kepada lima pemain tersebut yang dipanggil menjalani latihan sebagai persediaan ke saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Aidilfitri dan Pelancaran ‘Road to Sukma Perak 2018' di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini Selasa.

Lima pemain muda berkenaan adalah Syafiq Ahmad, Farhan Roslan, Ifwat Akmal, Ariff Farhan Md Isa dan Amirul Hisyam Awang Kechik.

Aminuddin berkata KFA memohon penangguhan tersebut sekurang-kurangnya dua minggu atau sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak sebelum melepaskan pemain-pemain tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata kemampuan pemain simpanan masih banyak yang perlu diperbaiki terutama dalam aspek komunikasi ketika di padang.

"Bukan mereka tidak mampu untuk bersaing tetapi mereka jarang bermain. Jadi persefahaman amat kurang dan ia dapat dilihat ketika menentang Perak. Namun, kita tetap bergantung kepada mereka sehingga pemain utama bersedia untuk beraksi semula," katanya.

KFA, Skuad B-22

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain