suria

Sukma: Isu Raja Pecut Tidak Ganggu Persiapan Melaka

MELAKA: Khabar angin mengenai Raja Pecut Negara, Khairul Hafiz Jantan menerima tawaran mewakili negeri lain tidak akan mengganggu persiapan kontinjen negeri ini dalam menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Perak.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata beliau menyifatkan perkara terbabit bukan masalah yang boleh melunturkan semangat negeri Hang Tuah bagi menghadapi saingan itu sebaliknya lebih kepada persepsi terhadap sesuatu jika diurus dan ditadbir dengan baik mampu menghasilkan keputusan yang positif.

"Saya tidak pernah memandang rendah atau pun serong kepada mana-mana pihak melainkan mereka yang menyampaikan berita yang tidak benar (sahih).Justeru, saya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak yang melaporkan kerana apabila saya siasat sendiri dengan bertanyakan empunya badan (Khairul Hafiz) beliau menafikan dakwaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Watikah Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat di Majlis Sukan Negeri, Krubong di sini melibatkan 29 orang bapa angkat terdiri daripada Exco, Timbalan Exco, Anggota Dewan Undangan Negeri serta Senator.

Ketika ditanya pemberita adakah Khairul Hafiz akan kembali memantapkan pasukan olahraga Melaka, Idris mengatakan belum ada kepastian sebaliknya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan mengenai pelari pecut negara yang berasal dari Melaka iaitu Khairul Hafiz dan Badrul HishamAbdul Manap yang sebelum ini dikatakan bakal mewakili negeri lain akibat isu ketidakpuasan hati mereka berhubung imbuhan yang diterima.

Sementara itu, Idris menggesa pihak yang terlibat dalam aspek pemilihan atlet agar mengamalkan nilai integriti dengan bersikap telus dan mendahulukan atlet yang mempamerkan aksi cemerlang dan berpotensi untuk merangkul pingat.

Sikap profesionalisme harus menjadi keutamaan dan elakkan bersikap pilih kasih yang hanya akan merugikan semua pihak termasuk atlet.

Selain itu, saya menyarankan supaya membuka peluang kepada atlet-atlet termasuk daripada agensi Angkatan Tentera Malaysia, Institusi Pengajian Tinggi dan Sekolah Henry Gurney berdasarkan syarat Sukma bagi memantapkan lagi kontinjen kita," katanya. - BERNAMA

Khairul Hafiz Jantan, Sukma

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain