suria

KL2017: Sedia Buru Emas

Iman Gobinathan (dua, kiri) dan Pengurus Pasukan Noor Saliza Ahmad Sobni (empat, kiri) bergambar bersama Nor Izaidah Ibrahim (kiri), Siti Noor Hafiza Zainordin (tiga, kiri) dan Nor Aisyah Yaakob selepas sidang media Program Kita Juara di Kompleks Sukan Negara pada Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita kebangsaan sudah bersedia memburu pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), yang akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

Berdasarkan kepada persediaan dan tahap prestasi pemain, kedua-dua ketua jurulatih pasukan wanita dan lelaki negara melahirkan keyakinan anak didik mereka mampu memberi saingan, sekali gus muncul juara.

Ketua jurulatih skuad wanita, Iman Gobinathan berkata pasukannya yang berjaya menduduki tempat kedua pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan Asia di Doha, Qatar, Mac lepas, kini berada pada tahap terbaik.

"Sasaran kami adalah pingat emas. Walaupun Thailand dan Indonesia mula bermain sukan ini kira-kira dua, tiga tahun sebelum kita, pasukan negara mempunyai keupayaan untuk muncul juara.

"Pemain sudah menunjukkan perkembangan positif dalam permainan selepas kami mengadakan perlawanan persahabatan menentang Western Australia dan menyertai Kejohanan Asia," katanya pada sidang media Program Kita Juara 2017 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Selasa.

Ketua jurulatih skuad lelaki, Muhammad Amin Rahim pula berkata pasukannya sudah bersedia untuk menggalas cabaran negara dan memberi saingan sengit di KL2017.

"Selepas melalui program latihan intensif selain persiapan yang dirancang dengan rapi, kami sudah bersedia untuk bersaing di Sukan SEA," katanya.

Bagi memperkukuhkan lagi skuad lelaki negara, beliau berkata pasukannya berhasrat mendapatkan khidmat pemain pertahanan skuad hoki padang negara, Najmi Farizal Jazlan.

Katanya perkara berkenaan masih dalam perbincangan.

Skuad lelaki dan wanita negara dijadual mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang Singapura hujung bulan ini sebagai persiapan terakhir menjelang KL2017. - BERNAMA

hoki, KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain