suria

Malaysia Terus Kempunan Raih Mata Pertama

Faizal Saari dirakam ketika beraksi pada pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, pagi Sabtu.

KUALA LUMPUR: Malaysia terus kempunan untuk meraih mata apabila tewas 3-7 di tangan England pada perlawanan kedua Kumpulan A, Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, pagi Sabtu.

Anak buah Stephen Van Huizen ketinggalan seawal minit kelima menerusi jaringan padang Barry Middleton sebelum Christopher Griffiths menambah jaringan pada minit kelapan untuk mendahului 2-0 pada suku pertama. .

Di suku kedua menyaksikan kebangkitan skuad The Malaysia Tigers, bermula dengan jaringan pukulan penalti Faizal Saari pada minit ke-19, sebelum Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi pukulan sudut penalti.

Segalanya berubah pada suku ketiga apabila England yang dibimbing Bobby Crutchley, kembali bangkit menambah tiga jaringan pada minit ke-32 menerusi Sam Ward hasil pukulan sudut penalti serta jaringan padang Middleton (minit ke-34) dan Mark Gleghorne (minit ke-39).

Suku keempat menyaksikan pasukan berada di ranking ketujuh dunia itu menambah dua lagi jaringan, masing-masing menerusi Ward pada minit ke-51 (jaringan padang) dan Gleghorne (minit ke-55) melalui pukulan sudut penalti, sementara Malaysia menambah satu gol menerusi Faizal (minit ke-57) hasil pukulan sudut penalti untuk keputusan 7-3 memihak kepada England kekal sehingga tamat perlawanan.

Ini merupakan kekalahan kedua skuad negara dalam Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia setelah tewas 3-5 kepada Argentina dalam perlawanan pembukaan, pada Jumaat.

Malaysia yang menduduki ranking ke-14 dunia akan bertemu dua lagi pasukan yang berada dalam Kumpulan A - Korea Selatan pada 20 Jun dan China (21 Jun).

Hanya empat pasukan daripada peringkat kumpulan akan mara ke suku akhir Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, sekali gus layak ke Piala Dunia.

Piala Dunia 2018 yang dijadual berlangsung pada Disember di India merupakan edisi ke-14 sejak kejohanan itu diperkenalkan.

Sebanyak 16 pasukan akan bertanding pada Piala Dunia, dengan satu tempat adalah untuk lima juara setiap benua, manakala tuan rumah menerima slot automatik, selain 10 pasukan terakhir adalah daripada dua kejohanan Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London dan Johannesburg, Afrika Selatan. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain