suria

Kepulangan Misbun Bakal Kembalikan Kegemilangan

KUALA LUMPUR: Kepulangan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku ketua jurulatih perseorangan negara disambut baik Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Menurutnya, Misbun merupakan antara jurulatih terbaik yang pernah dihasilkan oleh BAM dan sebagai seorang yang pernah bekerjasama dengan Misbun sebelum ini, beliau percaya kepulangan legenda itu bakal mengembalikan kegemilangan pemain perseorangan negara.

"Dengan kehadiran Misbun dalam BAM, beliau akan membantu meningkatkan prestasi pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei serta membangkitkan kembali semangat pemain perseorangan badminton negara yang lain.

"Beliau juga akan memastikan kesinambungan dalam melahirkan pemain-pemain muda yang bakal menggantikan tempat Chong Wei pada masa akan datang," katanya pada program Kasih Sesuci Lebaran bersama 73 anak yatim anjuran Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Nouvelles Visages, di Mydin Mall, Subang Jaya, Sabtu.

Ahmad Shapawi berkata dalam usaha Chong Wei untuk bergelar juara dunia, pemain itu memerlukan sokongan serta bimbingan daripada jurulatih yang berpengalaman dan individu yang benar-benar mengenali rentak permainan Chong Wei.

"Kita harus menyokong hasrat Chong Wei yang masih lagi ingin menabur bakti serta mengharumkan nama negara walaupun umurnya sudah mencecah 34 tahun.

"Jadi keazaman beliau yang ingin menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti memerlukan sokongan kejurulatihan yang mantap dan Misbun merupakan pilihan yang tepat," katanya.

Ahmad Shapawi berpendapat dengan kepulangan Misbun, pemain-pemain muda dalam BAM juga akan menerima tempias berkaitan strategi permainan serta kemahiran teknikal dalam setiap latihan yang dikendalikannya.

Misbun adalah individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei sehingga muncul sebagai pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super, dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan All England. - BERNAMA 

Misbun Sidek, BAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain