suria

Skuad Sukan SEA Berlatih Di China

Ong Kim Swee

MELAKA: Skuad bawah 23 tahun kebangsaan memilih China  bagi menjalani latihan persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos depan.

Pengurus pasukan Datuk Yusoff Mahadi berkata skuad bimbingan jurulatih Datuk Ong Kim Swee akan memulakan latihan itu pada 9 Jun.

“Di China nanti skuad B-23 akan diuji menerusi tiga perlawanan persahabatan menentang skuad bawah 23 tahun kebangsaan China dan dua lagi perlawanan dengan kelab-kelab di Gungzhou, China,” katanya.

Beliau berkata bila pulang ke tanah air, skuad B-23 Kebangsaan akan sekali lagi diuji dengan salah sebuah pasukan Liga Super yang akan diumumkan nanti sebelum pemain berehat untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata pihaknya memilih pasukan B-23 Kebangsaan China kerana pasukan itu agak kuat dan sesuai dijadikan sebagai tempat untuk menimba pengalaman berguna bagi menghadapi sukan SEA.

“Saya fikir dengan tiga perlawanan di luar negara dan satu perlawanan di dalam negara cukup untuk memberi kematangan kepada pemain kita sebelum beraksi di Sukan SEA,” katanya.

Katanya, sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur bermula, skuad B-23 akan sekali lagi diuji Julai depan pada perlawanan pusingan kelayakan ke Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, 2018 menentang pasukan B-23 Thailand. -Bernama

Ong Kim Swee, Sukan SEA

Artikel Sebelum

Artikel Lain