suria

KOM Selar Penganjur Maraton

Karim ketika sidang media di Wisma OCM pada Selasa. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyelar tindakan sebuah syarikat tempatan yang membelakangkan badan induk itu dalam penganjuran Maraton Kuala Lumpur Belt and Road China Malaysia 2017.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim mendakwa syarikat tersebut yang menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat di China, enggan membayar yuran penganjuran acara itu yang dijadual pada 1 Oktober depan sedangkan hak memberi keizinan terhadap setiap acara larian di Malaysia terletak di tangan badan induk olahraga negara.

Malah Karim turut terkilan apabila syarikat itu menggunakan Persatuan Olahraga China (CAA) tanpa mengambil kira KOM sebagai pihak yang lebih bertanggungjawab menganjurkan setiap acara maraton di negara ini.

"CAA tiada hak untuk masuk campur dengan penganjuran maraton di Malaysia. Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dan Persatuan Olahraga Asia (AAA) sedia maklum mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini Selasa.

Justeru, Karim menegaskan pihaknya tidak akan berlembut dan akan mendapatkan nasihat undang-undang sekiranya syarikat berkenaan gagal menjelaskan yuran tersebut sehingga hujung bulan ini.

"Maraton adalah hak KOM. Kami cuma mahu bekerjasama, bukan bertelagah dengan mana-mana agensi atau pun individu kerana setiap penganjur acara maraton perlu membayar yuran penganjuran.

"Kami tidak mahu ada pihak tertentu menggunakan orang atasan dan cuba mengetepikan kami. Yuran ini digunakan sebagai sumber kewangan untuk pembangunan olahraga negara," katanya.

Bagaimanapun, Karim menyuarakan kesediaan untuk berbincang dengan pihak terbabit mengenai yuran penganjuran tersebut yang diberi dua pilihan sama ada bayaran penuh atau mengikut setiap peserta yang mendaftar.

Pada masa sama, Karim menjelaskan pihaknya perlu bertindak adil kerana penganjur Maraton Kuala Lumpur juga membayar yuran penganjuran kepada KOM untuk menganjurkan acara berkenaan di sini. - BERNAMA

KOM, maraton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain