suria

Piala FA: Gol Awal Pahang Beri Tekanan - Mohd Asri

SEREMBAN: Gol seawal minit ke-6 yang dilakukan oleh Pahang ternyata menyentap semangat pemain Negeri Sembilan pada saingan separuh akhir kedua Piala FA di tempat sendiri pada Sabtu malam.

Pengendalinya Mohd Asri Ninggal berkata meskipun Negeri Sembilan berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-67 menerusi Bruno Suzuki, namun ia disifatkan sebagai agak terlewat kerana Pahang sudah bertukar kepada strategi bertahan.

"Kita kena terlebih awal membuatkan situasi permainan berubah dan memberi tekanan. Jika pemain kita dapat menyamakan kedudukan lebih awal, mungkin suasana permainan akan berubah,"katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Beliau berkata Negeri Sembilan menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta banyak peluang.

“Dalam separuh masa pertama, kami mencipta sembilan peluang berbanding empat oleh Pahang. Namun kita tidak berjaya menjaringkan gol dan kita harus terima hakikat bola sepak (kemenangan) adalah jaringan gol".

Mohd Asri berkata selepas ini  N. Sembilan mahu memberi tentangan habis-habisan dalam perlawanan Liga Super dan perlawanan lain.

"Apapun saya berpuas hati dengan keseluruhan persembahan pemain Negeri Sembilan kerana mereka sudah berusaha keras dan walaupun kita kalah, tapi kalah dengan bermaruah,” katanya.

Piala FA, Separuh Akhir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain