suria

Malaysia Menang Satu Kerusi Jawatankuasa Eksekutif AIPS

Ahmad Khawari Isa.

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa berjaya dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Penulis Sukan Antarabangsa (AIPS) bagi penggal 2017-2021.

Sempena pemilihan pada Kongres AIPS ke-80 di Pyeongchang, Korea Selatan, Jumaat, Ahmad Khawari memperoleh 64.3 peratus undi iaitu 54 negara daripada 96 negara yang memilih 13 jawatan ahli eksekutif tersebut.

Wakil Malaysia itu muncul sebagai calon kesembilan memperoleh undian tinggi dalam kalangan 28 calon yang bertanding.

Ahmad Khawari, yang juga naib presiden Kesatuan Penulis Sukan Asia, berkata kejayaan itu adalah satu lakaran baharu dalam kewartawanan sukan Malaysia di pentas antarabangsa.

"Suatu hari dahulu, pernah wujud satu lintasan dalam hati, sebaik menjadikan kewartawanan sukan sebagai kerjaya, mungkin suatu hari nanti, siapa tahu, akan mampu dijangkau tahap tinggi yang boleh dibanggakan.

"Kini, di Korea Selatan, impian jadi nyata. Alhamdulillah syukur dengan sokongan 54 negara untuk saya duduk di kerusi Jawatankuasa Eksekutif AIPS. Ia pengiktirafan untuk kewartawanan sukan Malaysia," katanya dalam entri terkini di laman facebook miliknya.

Selain Malaysia, empat lagi wakil Asia dari Jepun, Pakistan, Iran dan Korea Selatan turut terpilih sebagai ahli jawatankuasa eksekutif itu.

Jawatan presiden AIPS bagi penggal 2017-2021 sekali disandang wakil Itali, Gianni Merio untuk penggal keempat apabila menang tanpa bertanding manakala Esat Yilmaer dari Turki yang juga menang tanpa bertanding bagi jawatan naib presiden pertama.

JAWATANKUASA EKSEKUTIF AIPS 2017-2021

Presiden: Gianni Merio (Itali)

Naib Presiden Pertama: Esat Yilmaer (Turki)

Bendahari: Jura Ozmec (Croatia)

Naib Presiden:  Evelyn Watta (Kenya), Nikolai Dologopolov (Rusia), Ioannis Daras (Greece), Hiji Al Mohammed (Qatar), Mitchel Obi (Nigeria), Gabriel Cazenave (Paraguay), Charles Camnezuli (Malta).

Ahli: Seyed Abdolhamid Ahmadi (Iran), Zsuzsa Csisztu (Hungary), Vicente Dattoli (Brazil), Emanuel Fantaneanu (Romania), Hee Don Jung (Korea), Ahmadi Khawari Isa (MALAYSIA), Josef Langer (Austria), Amjad Amzaz Malik (Pakistan), Morad Moutaouakkil (Maghribi), Juan Antonio Prieto (Sepanyol), Jean Paul Savart (Perancis), Hiroshi Takeuchi (Jepun), Joze Zidar (Slovenia). - BERNAMA

AIPS, Ahmad Khawari Isa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain