suria

21 Penembak Bawa Cabaran Negara

KUALA LUMPUR: Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) menyenaraikan 21 penembak yang akan membawa cabaran negara ke Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017, yang akan berlangsung 19 hingga 30 Ogos ini.

Pemangku Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negeri (MSN) Jefri Ngadirin berkata senarai nama itu telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Fasa III program Kita Juara, Khamis.

Bagaimanapun, menurutnya semua nama penembak terbabit perlu mendapat pengesahan daripada Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Negara (MOM) pada 6 Jun ini sebelum ia dapat didedahkan kepada umum.

"Hasil daripada mesyuarat bersama NSAM semalam, seramai 21 penembak iaitu 14 lelaki dan tujuh wanita termasuk tiga simpanan bakal membawa cabaran negara dalam temasya sukan dwitahunan itu.

"Mereka yang terpilih itu juga akan menjalani latihan intensif di Korea Selatan bermula 17 Mei ini hingga 27 Jun dan turut akan menyertai sekurang-kurangnya dua kejohanan di sana," katanya.

Difahamkan, Johnathan Wong, Eddy Chew, Shahera Rahim Raja dan Nur Suryani Mohd Taibi antara penembak yang akan menyertai latihan di bumi ''kimchi'' itu.

Untuk rekod, skuad negara meraih dua pingat emas menerusi Alia Sazana Azahari, kategori 25 meter (m) pistol dan Ayuni Farhana Halim (50m raifal 3 posisi) pada Sukan SEA Singapura 2015. - BERNAMA

Sukan SEA

Artikel Sebelum

Bale Sedia Sertai United

Artikel Lain