suria

Abdul Azim Pengerusi Baharu ISN

Abdul Azim Mohd Zabidi.

KUALA LUMPUR: Ahli korporat, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dilantik sebagai Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkuat kuasa pertengahan bulan ini.

Abdul Azim yang juga bekas Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA) turut dipilih sebagai ketua kontinjen ke Sukan Asia 2018 di Indonesia oleh Majlis Olimpik Malaysia, Isnin.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Abdul Azim dipilih berdasarkan pengalamannya dalam bidang korporat yang dilihat bersesuaian untuk menerajui organisasi ISN.

"Beliau seorang yang berpengalaman dalam bidang korporat dan kita lihat beliau mampu menerajui organisasi seperti ISN dan pelantikan sebagai ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 bertepatan dengan pengalaman luasnya dalam bidang pengurusan.

"Pemilihan beliau sebagai ketua kontinjen Sukan Asia adalah sangat penting kerana kita melihat ada sinergi selaku Pengerusi ISN," katanya kepada pemberita.

Mohamad Norza melepaskan jawatan itu kerana mahu memberi fokus kepada badminton negara selepas dipilih menjadi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.

Abdul Azim, 58, yang juga Pengerusi Sungei Wang Plaza Sdn Bhd sejak 2007, adalah tokoh yang dikenali dalam bidang korporat dan pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional Berhad dari 1999 hingga 2009.

Ketika ini, pembabitannya dalam bidang sukan adalah sebagai setiausaha kewangan untuk Persatuan Kriket Melayu Malaysia. - BERNAMA

ISN, Abdul Azim Mohd Zabidi

Artikel Berikut

PKNS Akui Kehebatan Kedah

Artikel Lain