suria

Vinales Tawan Litar Argentina

Vinales (dua kiri) meraikan kemenangan bersama Rossi dan Crutchlow (kanan).

MAVERICK Vinales mengukuhkan kedudukan di tangga teratas MotoGP apabila menjuarai perlumbaan Grand Prix Argentina awal pagi Isnin selepas menguasai perlumbaan pembukaan musim di Qatar.

Pelumba Sepanyol ini yang menunggang jentera Yamaha  mendahului perlumbaan di pusingan keempat selepas juara dunia, Marc Marquez terbabas.

Pelumba veteran, Valentino Rossi yang berlumba di kejohanan itu buat kali ke-350 dalam kariernya menamatkan perlumbaan di tangga kedua selepas ketinggalan 2.915 saat.

Ia adalah kemenangan ketiga (Vinales) dalam karier kelas elit bagi pelumba berusia 22 tahun itu yang kini menyertai Yamaha sejak berpindah dari Suzuki, musim ini.

"Marquez memulakan perlumbaan dengan sangat baik dan apabila dia terjatuh, saya katakan pada diri sendiri yang saya perlu mendapatkan sebanyak mana mata yang mampu.

"Saya sangat gembira dan yakin. Ia seperti mimpi. Saya perlu berterima kasih kepada pasukan, mereka sudah melakukan tugas dengan baik,"kata Vinales.

Vinales kini meraih 50 mata penuh selepas dua perlumbaan dan 14 mata di depan Rossi.

Rossi yang sudah menjangkau usia 38 tahun mengakui Vinales adalah antara pesaing yang perlu diberikan tumpuan pada ketika ini.

"Nasib tidak menyebelahi saya kerana Maverick sedikit pantas tetapi keputusan ini sangat penting buat saya dan juga pasukan.

"Saya tidak fikir keputusan akan berbeza sekiranya saya melepasi Cal (Crutchlow) lebih awal dalam perlumbaan. Jika melihat kepada catatan sepusingan, Maverick lebih baik," katanya.

Tempat ketiga dimenangi Crutchlow yang mewakili LCR Honda selepas ketinggalan 3.754 saat.

MotoGP Argentina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan MotoGP Argentina

Artikel Lain