suria

Presiden Baharu BAM Bakal Diketahui 29 April Ini

Norza (kiri) dan Mohamed Al Amin (kanan) menjadi sebutan untuk menggantikan tempat Tengku Mahaleel (tengah).

KUCHING: Tarikh 29 April menjadi penentu siapa bakal Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu antara Tan Sri Mohamed Al Amin Majid atau Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Sehingga kini, tiada tanda-tanda kompromi dicapai antara kedua-dua pihak, sekali gus menjadikan mesyuarat agung tahunan (AGM) BAM di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor pada 29 April sebagai penentu.

Mohamed Al Amin yang juga Pemangku Presiden BAM berkata tarikh itu ditetapkan dengan AGM bermula pukul 11 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada akan berlaku pertandingan antaranya dan Mohamad Norza.

"Ia masih terlalu awal untuk memperkatakannya pada ketika ini. Anggota majlis berpendapat kami berdua mahukan yang terbaik untuk BAM," katanya selepas mesyuarat Majlis BAM di sini pada Sabtu.

Menurut Mohamed Al Amin, anggota majlis memberi mandat kepada kedua-dua mereka untuk mencari penyelesaian menang-menang dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini.

"Oleh itu, saya tidak boleh mendedahkan apa yang kami akan lakukan. Kami berkawan baik tetapi mempunyai cara kerja masing-masing untuk melaksanakan tugas," katanya.

Mohamad Norza yang turut hadir berkata, anggota majlis sudah tahu kekuatan serta kelemahan masing-masing dan menghargai sumbangan mereka kepada sukan itu.

"Mereka bersetuju untuk kami mencari penyelesaian terbaik bagi terus maju," katanya.

"Oleh kerana proses ini masih dijalankan, tiada persoalan siapa antara kami yang perlu memberi laluan. Saya percaya kami mampu menanganinya," katanya sambil menambah BAM mempunyai rekod baik peralihan pimpinan sejak lebih 30 tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Al Amin berkata BAM sekali lagi mencalonkan Datuk Lim Teong Keat sebagai wakil negara dalam Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi pemilihan badan induk dunia itu bulan depan.

"Beliau telah memberi khidmat yang baik dan pastinya lebih baik untuk beliau teruskan," katanya menurut laporan Bernama.

Sementara itu, mengenai Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung di sini, Mohamed Al Amin memuji tuan rumah Sarawak yang berjaya menganjurkannya dengan baik serta kehadiran penonton yang ramai.

Beliau bagaimanapun kesal ada pemain remaja yang gagal memberi persembahan terbaik walaupun membuat persiapan rapi serta mendapat kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Kita tidak boleh memberi alasan sama atas kegagalan di kejohaan ini atau yang lain. Mereka perlu meningkatkan prestasi. Kami tidak boleh terus menunggu," katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Al Amin gembira dengan persembahan beregu campuran, beregu wanita dan lelaki serta pemain perseorangan yang menampilkan aksi yang baik walaupun tewas, selain Datuk Lee Chong Wei yang terus mendukung cabaran negara.

BAM, Presiden, AGM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain