suria

F1 GP Malaysia 2017 Yang Terakhir

GAMBAR FAIL

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia menyaksikan penganjuran terakhir Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai tuan rumah pada tahun ini.

Sejak tahun lalu, status penganjuran sudah diumumkan bahawa Malaysia tidak menyambung kontrak penganjuran berikutan kedudukan ekonomi dan sambutan yang kurang memberangsangkan.

Perlumbaan berprestij dunia yang mula dianjurkan pada tahun 1999 itu akhirnya bakal menjadi sejarah buat sukan pemotoran negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perlumbaan GP Malaysia bakal berakhir 2018.

Jelasnya di laman blog najibrazak.com, Kabinet telah bersetuju untuk menamatkan kontrak penganjuran perlumbaan F1 bermula tahun 2018 memandangkan penurunan pulangan yang semakin ketara kepada negara berbanding dengan kos penganjuran kejohanan tersebut.

"Pada peringkat awalnya penganjuran F1, perlumbaan ini dapat mempromosikan negara sebagai destinasi bagi acara sukan bertaraf dunia, selain mempromosi negara sebagai destinasi pilihan pelancong global.

"Namun begitu, sudah sampai masanya kerajaan menilai penganjuran kejohanan F1 ini dengan mengambil kira perubahan yang berlaku sejak kita menganjurkan perlumbaan ini pada tahun 1999.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan daripada Sepang International Circuit (SIC) mengenai impak kewangan acara F1 ini kepada semua pihak berkepentingan," jelasnya menerusi blog itu pada Jumaat.

Tambah Najib, kerajaan terpaksa menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi setiap tahun tetapi pulangan daripada menganjurkan kejohanan ini semakin berkurangan dari segi penonton, pengunjung dan jumlah kedatangan pelancong asing semasa perlumbaan berlangsung sejak beberapa tahun yang lalu.

"Pada tahun 1999 hanya 16 buah negara menjadi tuan rumah kepada perlumbaan berprestij ini termasuk dua negara Asia, tetapi ianya kini telah meningkat kepada 21 buah negara dengan melibatkan enam negara Asia, sekali gus mengakibatkan penurunan pulangan kepada penganjur dan negara.

"Penamatan penganjuran ini akan membolehkan kerajaan meningkatkan pembiayaan dalam sukan permotoran bagi pembangunan bakat, infrastruktur, pemindahan kemahiran dan pengetahuan," ujarnya.

Biarpun tidak lagi menganjurkan perlumbaan ini, kerajaan akan terus memberi perhatian dan sokongan kepada sukan pemotoran negara.

"Kerajaan akan menggunakan peruntukan yang ada bagi kegunaan perlumbaan lain seperti MotoGP dan Go-kart, membina litar perlumbaan khas di Sungai Petani, menaik taraf kemudahan di SIC di samping membantu pemandu profesional negara menjadi pemandu F1.

"Litar Sepang akan terus memainkan peranan penting dalam usaha kita mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa. Ia akan terus menjadi tuan rumah kepada acara sukan permotoran utama seperti MotoGP dan banyak lagi perlumbaan bertaraf nasional, serantau dan antarabangsa yang akan terus menarik pengunjung ke Malaysia," tambah beliau.

Meskipun begitu, Petronas akan meneruskan penajaan ke atas Pasukan Mercedes AMG Petronas dalam perlumbaan F1 sebagai strategi pemasaran syarikat berkenaan.

Kerajaan Malaysia sedia maklum dan mengakui sokongan yang telah diberikan oleh Formula One Management (FOM) sepanjang penganjuran perlumbaan tersebut di negara ini sejak 19 tahun yang lalu. 

"Saya juga ingin menzahirkan setinggi penghargaan atas persefahaman serta persetujuan FOM yang bersetuju perlumbaan F1 2017 di Sepang menjadi perlumbaan terakhir di litar tersebut," tambah Najib.

Formula Satu, F1

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain