suria

Penyokong Serbu Beli Tiket Perlawanan Pahang-JDT

Penyokong tegar Pahang menunjukkan tiket perlawanan suku akhir pertama Piala FA antara Pahang menentang Johor Darul Takzim (JDT) malam esok di Stadium Darul Makmur ketika tinjauan fotoBernama pada Jumaat.

KUANTAN: Kehangatan aksi suku akhir pertama Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin terasa apabila ribuan penyokong menyerbu Stadium Darul Makmur di sini pada Jumaat bagi mendapatkan tiket.

Tinjauan Bernama mendapati penyokong telah berkumpul dan beratur di kaunter sejurus selepas solat Jumaat agar tidak ketinggalan menyaksikan perlawanan yang dijangka sengit esok.

Suasana di sekitar perkarangan stadium dilihat teratur dengan orang ramai sabar menunggu giliran walaupun cuaca panas dan ada juga penyokong yang membawa anak kecil untuk bersama membeli tiket.

Seorang penyokong, Fadhli Abdullah Hashim, 28, berkata dia bergegas ke stadium itu untuk membeli tiket selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.

"Kira-kira pukul 2 petang saya sudah berada di stadium dan ketika itu sudah ramai yang menanti kaunter tiket yang dibuka sejam kemudian.

"Bagi mendapatkan empat tiket hari ini saya terpaksa beratur dua jam bersama penyokong lain ketika cuaca panas," katanya.

Difahamkan, sebanyak 28,000 tiket bagi perlawanan suku akhir pertama Piala FA membabitkan Pahang dengan JDT dijual bermula pukul 3 hingga 6.30 petang dan jika tiket tidak habis dijual, kaunter tiket akan dibuka kembali pukul 9 pagi esok.

Setiap individu hanya boleh membeli empat tiket dan harga yang ditetapkan ialah RM25 bagi pentas utama, berbumbung (RM15) dan terbuka (RM12).--Bernama

JDT, Pahang

Artikel Sebelum

Artikel Lain