suria

Sukan SEA: Dua Atlet Triathlon Muda Bakal Buat Penampilan Sulung

Atlet yang berjaya melepasi ujian pemilihan acara triathlon untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), (dari kiri) Ryan Tan Qai Shen, Irene Chong, Bowden Zoe dan Rikigoro Shinozuka selepas menamatkan ujian pemilihan itu di tempat pertama dan kedua bagi kategori lelaki dan wanita di Pusat Sukan Air Putrajaya pada Sabtu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Atlet triathlon muda negara, Ryan Tan QaiShen dan Zoe Natasha Bowden dijangka membuat penampilan sulung, masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita pada Sukan SEA ke-29, Ogos ini.

Kedua-dua atlet berkenaan layak beraksi pada temasya dwitahunan itu selepas meraih tempat kedua pada Kejohanan Triathlon Kebangsaan di Kompleks Sukan Air Putrajaya, pada Sabtu dengan dua peserta terbaik layak bersaing di Sukan SEA 2017.

Ryan yang mencatat masa dua jam 11 minit dan 45 saat, hanya ketinggalan satu minit di belakang atlet triathlon elit negara, Rikigoro Shinozuka (2:10:20s),yang merupakan pemenang pingat perak pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Ia kali pertama bagi atlet berusia 18 tahun itu bersaing dalam perlumbaan mengikut standard Sukan Olimpik melibatkan berenang sejauh 1.5km, berbasikal 40km dan berlari 10km.

"Ia pengalaman sungguh berharga bagi saya, dan beralih untuk bersaing dalam perlumbaan ini daripada jarak perlumbaan yang pendek bukan suatu yang mudah.

Sebagai persiapan menghadapi kejohanan kebangsaan ini, saya menjalani latihan di Hong Kong bersama-sama atlet negara berkenaan selama tiga bulan. 

"Saya tidak pernah bersaing dalam kejohanan besar sebelum ini, jadi sayaakan berusaha menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik pada Sukan SEA.Persaingan dijangka sengit, dan saya hanya mempunyai beberapa bulan sebagai persiapan," katanya.

Bagaimanapun, Zoe yang juga pertama kali beraksi dalam perlumbaan mengikut standard Olimpik, perlu berusaha keras untuk bersaing dengan peserta terbaik wanita, Irene Chong See Win, selepas beliau hanya mencatat masa 2:31:19s berbanding Irene yang melakukan 2:24:03s.

Atlet kelahiran Selangor berdarah kacukan - bapanya dari Australia danibunya warga tempatan - tidak sabar menjalani latihan berintensiti tinggi dan menyertai perlumbaan peringkat antarabangsa bagi meningkatkan prestasinya.

"Pada masa ini, saya belajar di Sekolah Antarabangsa British di Phuket dan menjalani latihan di bawah Akademi Triathlon Berprestasi Tinggi di sana sejak dua tahun lepas.

Selepas ini saya perlu mengubah jadual latihan dan menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa di Amerika Syarikat, Kanada danEropah.

"Saya perlu menyesuaikan diri dengan lebih banyak kejohanan kompetitifdan profesional agar saya benar-benar bersedia bersaing pada Sukan SEA," kata atlet berusia 18 tahun itu.

Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA, Datuk Marina Chin menyokong agar Ryandan Zoe dimasukkan dalam program 'Kita Juara' bersama-sama Shinozuka dan Irene, bagi menjalani latihan berintensiti tinggi sebagai persediaan menghadapi temasya sukan dwitahunan itu.

Acara triathlon pada Sukan SEA dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya, 23 Ogos depan. -Bernama

triathlon, sukan sea

Artikel Lain