suria

Giliran Calon Naib Presiden FAM Tarik Diri

IPOH: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam Kongres FAM pada Sabtu ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

“Sudah sampai masanya saya memberi peluang kepada orang lain berkhidmat untuk kemajuan sukan bola sepak negara,” katanya di sini pada Khamis seperti dilaporkan portal berita Utusan Online.

Pengumuman Zainol itu dibuat beberapa jam selepas calon Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa mengambil keputusan untuk menarik diri pada pemilihan Kongres FAM, sekali gus membuka ruang kepada seorang lagi calon, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara itu masih belum boleh disahkan dan pihaknya masih menunggu makluman rasmi daripada Annuar.

Saya masih menunggu pengesahan bertulis daripada Annuar mengenai penarikan dirinya daripada bertanding jawatan berkenaan.

"Pengisytiharan kemenangan juga hanya boleh dilakukan pada Kongres FAM yang dijadualkan Sabtu ini," katanya ketika dihubungi Bernama.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain