suria

53 Persatuan Sukan Wilayah Persekutuan Terima Bantuan RM420,000

Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) pada Sabtu menyerahkan bantuan berjumlah RM420,000 kepada 53 persatuan sukan di Wilayah Persekutuan bagi membantu pentadbiran dan pelaksanaan program sukan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata penyerahan bantuan itu merupakan usaha MSWP untuk memastikan pentadbiran persatuan sukan berjalan lancar dan efisyen.

"Sebanyak 26 persatuan sukan dari Kuala Lumpur, 17 persatuan sukan dari Putrajaya dan 10 dari Labuan menerima bantuan ini.

"Dengan adanya bantuan ini, diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam segi pentadbiran dan melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan pembangunan sukan di wilayah terus berkembang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Pentadbiran kepada Persatuan Sukan di Wilayah Persekutuan 2017 di sini, Sabtu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bantuan tersebut adalah untuk memudahkan pentadbiran sesebuah persatuan sukan dalam usaha ke arah kecemerlangan sukan, sekali gus memartabatkan nama Wilayah Persekutuan.

Beliau turut menyarankan setiap persatuan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan memilih ahli jawatankuasa yang dilihat mampu memberi komitmen bagi mentadbir sesebuah badan sukan.

"Saya ingin ingatkan kepada pihak persatuan sukan bahawa bantuan ini hendaklah diuruskan dengan berhemah dan sistematik. Pengurusan yang baik dan teratur akan menjadikan badan sukan lebih terurus seterusnya mampu melahirkan atlet yang berkualiti," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain