Liga Europa: Tundukkan Saint-Etienne, United Terus Mara - Sukan | mStar

Liga Europa: Tundukkan Saint-Etienne, United Terus Mara

Sebahagian daripada pemain Manchester United meraikan kejayaan pasukan mereka selepas menewaskan Saint-Etienne 1-0 dalam saingan Liga Europa, awal pagi Khamis. United mara ke peringkat seterusnya dengan agregat 4-0. -fotoAP
MANCHESTER United berjaya mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Liga Europa selepas menyingkirkan kelab Ligue 1, Saint-Etienne dalam perlawanan awal pagi Khamis.

Menang 3-0 ketika perlawanan pertama, United sekali lagi menewaskan Saint Etienne dalam perlawanan kedua dengan satu gol tanpa balas.

Berbekalkan tiga gol yang diperolehi melalui hatrik Zlatan Ibrahimovic di Old Trafford pada perlawanan pertama, gol tunggal United di Stade Geoffroy-Guichard diperolehi melalui Henrikh Mkhitaryan pada minit ke-16.

Gol tersebut tercipta apabila Juan Mata melepaskan umpan dari sebelah kiri pertahanan Saint-Etienne, di mana bola yang mengarah ke tengah kotak penalti kemudian disambut oleh Mkhitaryan sebelum membolosi gawang lawan.

Gol tersebut bermakna Mkhitaryan telah terlibat dalam lima gol untuk enam perlawanan terakhirnya bersama United dengan meledakkan tiga gol dan dua assist.


Ketinggalan 0-1 menjadikan peluang Saint-Etienne untuk mara ke babak seterusnya semakin tipis, apabila mereka perlu mendapatkan lima gol dalam perlawanan tersebut.

Mkhitaryan bagaimanapun dibawa keluar padang pada minit ke-26 kerana cedera ringan, dan Mourinho menggantikannya dengan Marcus Rashford.

United terpaksa bermain dengan 10 orang pemain pada separuh masa kedua apabila bek tengah mereka Eric Bailly dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-63 kerana melanggar pemain lawan, Hamouma.


Jarak antara kad kuning pertama dan kedua itu hanyalah tiga minit dan lima saat.

Selain United, pasukan lain yang turut bersaing pada awal pagi Khamis dan mara ke peringkat seterusnya adalah Krasnodar dan Schalke.

Cabutan undi peringkat 16 kelompok akhir Liga Europa akan berlangsung di Nyon, Switzerland pada Jumaat.

Liga Europa , Saint-Etienne , Man United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Boo anjing paling comel di dunia mati