suria

Pemenang Pingat Di Rio Dominasi Pencalonan Anugerah SAM-100PLUS 2016

Chong Wei antara yang tercalon dalam anugerah tersebut.

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun lalu, mendominasi pencalonan bagi Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2016 pada 2 Mac, di sini.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali, Datuk Lee Chong Wei mendahului  senarai pencalonan bersama-sama pemenang pingat di Olimpik Rio iaitu gandingan  Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong (terjun), Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton) dan Azizulhasni Awang (berbasikal).

Bagi memberi kelainan pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS kali ini, SAM  menambah bilangan atlet yang disenarai pendek kepada tujuh pencalonan berbanding lima pada tahun sebelum ini.

Turut tersenarai ialah pelumba Moto3 negara dari pasukan Idemitsu Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi yang meraih dua kemenangan podium pada kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia serta jaguh pencak silat dunia, Mohd Al-Amin Jufferi Jamari.

Presiden SAM Ahmad Khawari Isa berkata pihaknya buat julung kali memperkenalkan satu kategori baharu iaitu Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik bagi menyuntik pembaharuan dalam penganugerahannya.

"Anugerah berkenaan melengkapkan siri pengiktirafan warga sukan negara kepada semua atlet di negara ini.

"Kami berharap pengenalan anugerah baharu ini akan berpanjangan seperti  mana jalinan kerjasama SAM bersama 100PLUS yang wujud setelah sekian lama," katanya pada sidang media Anugerah SAM, Khamis.

Calon kategori baharu itu ialah Abdul Latif Romly (lompat jauh),  Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru), Mohd Ridzuan Mohd Puzi (100 meter) dan Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh).

Pemenang untuk kedua-dua anugerah akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi.

Sementara itu, wartawan sukan juga akan diberi pengiktirafan sebagai  mengenang jasa dan pengorbanan mereka dalam arena sukan menerusi anugerah yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai lebih RM50,000.

Anugerah itu terbahagi kepada enam kategori - Laporan Berita Terbaik (media cetak), Laporan Berita Terbaik (media elektronik), Ulasan Berita Terbaik (media cetak), Ulasan Berita Terbaik (media elektronik), Laporan Khas Terbaik (terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Lebih 200 penyertaan diterima SAM bagi semua kategori yang dipertandingkan.

Pemenang setiap kategori akan menerima RM3,000 dan trofi serta berpeluang dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan yang akan menerima hadiah wang tunai RM7,000 dan Piala Siebel. - BERNAMA


Anugerah SAM-100PLUS 2016

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Annuar Dedah 7 Visi Terajui FAM

Artikel Lain