suria

Ada Unsur Rasuah Dalam Tender Sukan Sea - Sumber

KUALA LUMPUR: Dipercayai wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa dalam isu tender pembekalan peralatan gimnastik untuk Sukan SEA 2017, menurut sumber di sini.

Menurutnya melalui satu siasatan dalaman yang dijalankan, dipercayai terdapat elemen rasuah dan salah guna kuasa berhubung permohonan dan kelulusan tender berkenaan.

Sumber berkata tender untuk pembekalan peralatan gimnastik yang ditutup pada Disember tahun lepas telah dibatalkan dan tender baharu dikeluarkan semula melalui Perbadanan Stadium Malaysia selepas sebulan.

"Walhal Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini telah melantik Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB) bagi mengendalikan infrastruktur dan kemudahan untuk Sukan SEA," katanya kepada Bernama.

Menurut sumber, apabila sesuatu tender dikeluarkan, hanya spesifikasi sesuatu peralatan yang diperlukan akan dinyatakan dan bukan nama jenama.

"Persoalannya sekarang ialah mengapakah perkhidmatan MRCB tidak digunakan untuk peralatan sukan gimnastik apabila syarikat tersebut telah dilantik untuk mengendalikan infrastruktur dan kemudahan bagi Sukan SEA?" katanya.

"Dalam isu ini, didapati 'Bill Quantity' yang dikeluarkan oleh penender dikatakan telah menyatakan jenama yang dikehendaki yang mana boleh menjurus kepada ketidakpatuhan syarat," katanya.

Sumber itu menjelas bahawa perkara itu dipercayai dilakukan supaya syarikat yang mempunyai kepentingan boleh memberi sebut harga dengan harga yang berkurangan berbanding dengan syarikat-syarikat lain supaya syarikat tersebut dipilih.

"Perkara ini perlu dipandang serius dan tindakan perlu diambil segera sebelum terdapat individu menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri.

"Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA buat kali keenam dan kejadian seperti ini amat membimbangkan kerana khuatir akan mencemarkan imej sukan negara," katanya.

Pada 9 Februari lepas, KBS menegaskan isu kepincangan tender peralatan gimnastik untuk Sukan Sea 2017 seperti dilaporkan media adalah tidak tepat.

Sukan Sea 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala FA Inggeris

Artikel Lain