suria

Piala FA: Perak, MOF FC Lengkap Kuota 16 Pasukan Ke Pusingan Ketiga

Pemain Perak Faton Toski diraikan rakan sepasukannya selepas berjaya menjaringkan gol kedua pasukan Perak pada perlawanan saingan pusingan kedua Piala FA pasukan Perak menentang pasukan PBMS FC di Stadium Perak malam Rabu. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Juara dua kali Perak dan wakil Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF FC) melengkapkan senarai 16 pasukan yang layak ke pusingan ketiga Piala FA selepas berakhir perlawanan pusingan kedua malam Rabu.

Perak menewaskan wakil Piala FAM, Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor 3-0 pada aksi di Stadium Perak, Ipoh.

Beraksi tanpa kehadiran penyokong nyata tidak menjejaskan rentak permainan skuad 'The Bos Gaurus' yang meraih gol menerusi Vladislav Mirchev pada minit ke-14 dan dua gol lagi aripada Faton Toski pada minit ke-26 dan minit ke-48.

Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini mendenda Persatuan Bola Sepak Perak sebanyak RM47,500 serta hukuman beraksi tanpa penonton dalam dua perlawanan.

Ia susulan tindakan liar penyokong Perak yang membaling botol minuman ke arah penyokong Johor Darul Tazim (JDT) sehingga mengakibatkan kecederaan kepada penyokong lawan pada aksi Liga Super antara Perak dan JDT di Stadium Perak, Ipoh pada 6 Ogos lepas.

Dalam satu lagi aksi yang membabitkan pertemuan dua wakil Piala FAM, MOF FC menang bergaya 4-0 ke atas Kelab Bola Sepak Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM FC) di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Empat gol skuad kendalian S. Balachandran itu dijaringkan oleh Rudie Ramlie pada minit ke-32 dan minit ke-79, Hafizi Amiruddin (minit ke-37) serta gol pemain gantian, Mohd Hakim Zainal pada masa kecederaan.

Untuk rekod, 14 pasukan sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga Piala FA iaitu juara bertahan Johor Darul Ta'zim, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka United, Terengganu dan Kuantan FA.

Pasukan lain adalahPahang, T-Team, Sabah, Sarawak, UiTM FC, Perlis dan wakil Perak PKNP FC.

Undian pusingan ketiga Piala FA dijadual berlangsung dalam program 'Nasi Lemak Kopi O' di TV9 pada Ahad ini (19 Februari). - BERNAMA

Perak, MOF FC, Piala FA

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain