suria

17 Maut Insiden Rempuhan Di Stadium Angola

SEKURANG-kurangnya 17 maut manakala ramai cedera dalam insiden rempuhan semasa perlawanan bola sepak di Angola pada Jumaat ketika ratusan penyokong menyerbu pintu masuk stadium, kata pegawai perubatan.

Insiden di bandar utara Uige itu berlaku apabila penyokong merempuh penghadang selepas tidak dibenarkan masuk sebelum perlawanan bermula, kata agensi berita Angop.

Kebanyakan mangsa yang maut dipercayai akibat dipijak.

Ernesto Luis,  Ketua Pengarah di sebuah hospital tempatan memberitahu Reuters bahawa kebanyakan mangsa turut mengalami sesak nafas.

"Ada di antara mereka yang memijak antara satu sama lain. Kira-kira 76 mangsa cedera manakala 17 disahkan meninggalkan dunia.

"Lima lagi yang cedera berada berada dalam keadaan kritikal," katanya.

Saksi berkata penyokong cuba memasuki perkarangan stadium yang hanya boleh menampung kapasiti kira-kira 8,000 penonton pada satu masa.

"Ketika kami mahu masuk, kami mendapati ada penghadang. Penyokong di barisan pertama terjatuh, saya berada di barisan ketiga," kata Joao Silva yang terselamat dalam insiden itu.

Dia hanya mengalami patah kaki.

Perlawanan itu membabitkan pasukan Santa Rita de Cassia dan Libolo yang beraksi dalam liga divisyen satu Angola.




Angola, rempuhan, stadium

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain