suria

Ibrahimovic Akan Terus Perkuat United - Mourinho

JOSE Mourinho yakin Zlatan Ibrahimovic akan kekal di Old Trafford musim depan, kempen yang dilihat pengurus Manchester United itu sebagai 'kemuncak prestasi' penyerang sensasi tersebut.

Pembelian pemain berusia 35 tahun itu pada musim panas lalu ternyata berbaloi apabila dia menjaringkan gol ketika United bertemu Leicester hujung minggu lalu.

Ini menjadikan Ibrahimovic sebagai pemain United pertama menjaringkan 20 gol sejak persaraan Sir Alex Ferguson.

Mourinho percaya Ibrahimovic mempunyai banyak lagi masa untuk menambah jaringan tersebut memandangkan United masih berusaha merebut kelompok empat pasukan teratas.

Penyerang itu turut dikaitkan dengan Napoli selain kelab di China dan Amerika Syarikat, perpindahan yang diharapkan Mourinho tidak akan berlaku.

Sebaliknya, Mourinho percaya Ibrahimovic akan kekal bersama United memandangkan kariernya kini sudah sampai ke kemuncak.

"Saya amat yakin dia akan kekal. Dia datang dengan niat untuk bersama United selama dua tahun.

"Tahun pertama sedang diharunginya, saya harap ia (perpindahan) tidak terlintas di fikirannya kerana dia amat bercita-cita tinggi, lebih baik daripada setiap jangkaan.

"Dia tahu kami akan cuba memperbaiki prestasi pada musim depan dan cuba berkongsi dengannya cara terbaik, mungkin untuk tahun terakhir kariernya. Saya yakin dia akan kekal.

"Dia juga sudah menyesuaikan diri dengan keadaan di sini. Saya tidak lihat sebarang masalah dengan keluarganya," kata Mourinho.

Ibrahimovic mempamerkan prestasi konsisten sejak tiba di England pada musim panas lalu.

Dia menyertai United bersama dengan Henrikh Mkhitaryan, Eric Bailly dan Paul Pogba.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain