suria

Kim Swee Timba Ilmu Di London

Ong Kim Swee

PETALING JAYA: Ketua jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee bersama penolongnya Brad Maloney bakal berguru bersama kelab Inggeris, Queen Park Rangers (QPR) selama sebulan bermula 7 Februari hingga 8 Mac ini.

Pemergian kedua-dua jurulatih kebangsaan itu merupakan permulaan kepada jalinan kerjasama rasmi di antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan AirAsia-QPR.

Menurut Kim Swee, 47, pemergian ke QPR merupakan peluang untuk melihat bagaimana mereka menjalankan program-program akademi kelab berkenaan.

"Ini adalah penting kerana England berlainan, kerana mereka memupuk pemain-pemain muda dengan cara tersendiri.

"Bukan sahaja dapat bersama skuad utama QPR tetapi peluang untuk saya melihat macam mana mereka menjalankan akademi. Apa yang mereka lakukan. Terutamanya dari segi psikologi," jelasnya ketika ditemui selepas sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM pada Jumaat.

Tambah Kim Swee, walaupun hanya untuk tempoh singkat tetapi beliau percaya akan mempelajari sesuatu dari segi ilmu kejurulatihan.

"Kemungkinan selepas perlawanan pertama dengan Korea Utara saya mempunyai jangka masa panjang dari April hingga Jun sebelum perlawanan kedua.

"Dan dalam tempoh itu saya akan ke sana lagi dua atau tiga minggu," tambahnya.

Sekembalinya dari London, Kim Swee akan mengumumkan senarai pemain untuk menjalani latihan skuad kebangsaan yang dijadualkan bermula 19 Mac.

Ia sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' bertemu Filipina di Manila pada 22 Mac atau menentang kelab China di Beijing sebelum saingan Kelayakan Piala Asia 2019 bagi Kumpulan B  - menentang Korea Utara di Stadium Kim II-Sung, Pyongyang pada 28 Mac depan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, jemputan itu adalah permulaan kepada jalinan kerjasama dengan FAM dan QPR.

"Kita akan turut membawa pakar-pakar dari QPR datang ke negara ini bagi membantu terutama dari segi program latihan di peringkat remaja.

"Kerjasama jangka panjang ini adalah satu sumbangan ikhlas kami dalam membantu perkembangan bola sepak Malaysia," jelasnya yang juga salah seorang pemilik QPR bersama Tan Sri Tony Fernandes.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain