suria

Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah Meninggal Dunia

ALOR SETAR: 'Bapa pembangunan bola sepak Kedah' Kassim Saad, 78, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini Rabu malam akibat angin ahmar.

Menurut anaknya Mohamad Izhar, bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri Salmiah Othman, 72, dan anggota keluarga pada kira-kira 11.45 malam setelah 11 hari dimasukkan ke HSB.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, seorang anak dan dua cucu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kodiang, Jitra pada 11.30 pagi Khamis.

Sementara itu, Mohamad Izhar, 40, berkata bapanya banyak menyumbang dalam mencungkil dan membimbing bakat baharu dan pelatih sukan bola sepak negeri ini.

"Antara nama terkenal yang pernah mendapat sentuhannya ialah bekas ketua jurulatih Kedah Mohd Azrai Khor Abdullah, Radzi Mat Din, Azmi Mahmud, Kamal Idris Ali, Fadrizuan Che Hamid dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

"Allahyarham juga merupakan bekas pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar pada 1983 sehingga 1988 dan pada masa sama mengambil peluang tersebut menghimpunkan pelajar yang berpotensi dan berbakat untuk Kedah," katanya ketika ditemui Bernama.

Mohamad Izhar berkata, rumah keluarganya di Jalan Golf di sini tidak ubah seperti akademi bola sepak apabila ramai pelajar yang dijadikan anak angkat oleh arwah bapanya untuk dibimbing sebagai pemain.

"Minat arwah terhadap bola sepak tidak pernah pudar dan baru-baru ini arwah sempat mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Kedah yang menjuarai Piala Malaysia walaupun tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan bola sepak di peringkat negeri," katanya.

Sementara itu, Mohd Azrai menyifatkan Allahyarham sebagai bapa pembangunan bola sepak Kedah yang tidak didendangkan.

"Jasa beliau dalam pembangunan bola sepak Kedah tidak ternilai harganya kerana ramai pemain Kedah yang berbakat mendapat didikan dan dorongan daripada arwah hingga menjadikan Kedah pasukan yang disegani," katanya.

Kassim Saad, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain