suria

Final Beregu Campuran Antara Dua Pasangan Negara

Kian Meng dan Pei Jing beraksi menentang lawan dari Hong Kong Chun Hei dan Tsz Yau pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Stadium Tertutup Sibu, Sabtu. fotoBERNAMA

SIBU: Gandingan beregu campuran nombor sembilan dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengesahkan tiket ke final Kejohanan Badminton Masters Malaysia, sekali gus menyaksikan pertembungan dua pasangan negara pada Ahad.

Kian Meng-Pei Jing mengesahkan tempat mereka selepas bangkit mengalahkan Tam Chun Hei-Ng Tsz Yau dari Hong Kong 19-21, 21-13, 21-12 dalam perlawanan separuh akhir yang berlanjutan hampir sejam di Stadium Tertutup Sibu di sini.

Mereka akan berdepan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang melayakkan diri lebih awal selepas menundukkan pilihan keenam, Tontowi Ahmad-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia 21-17, 21-18.

Kian Meng-Pei Jing jelas gemuruh pada set pertama sehingga gagal beraksi pada kemampuan sebenar sebelum sorakan penonton membantu mereka bangkit bagi mengulangi pencapaian mara ke final tahun lalu.

Kini mereka yang juga pilihan kedua berpeluang menebus kekalahan di final tahun lepas dan mengakui terkejut akan berdepan rakan sepasukan di pentas akhir pada Ahad.

"Di luar kita memang kawan baik tapi di atas gelanggang, keluarga pun kita akan lawan.

"Kami akan bermain habis-habisan dan terima sahaja keputusannya nanti," kata Pei Jing yang mahu bermain habis-habisan untuk merangkul kejuaraan selepas hampa di final tahun lalu di tangan pasangan China, Zheng Siwei-Li Yinhui.

Terdahulu, Shevon berkata, kedua-dua pasangan negara itu sudah masak dengan corak permainan masing-masing dan ketahanan mental dan fizikal akan menjadi ukuran untuk merangkul kejuaraan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain