suria

JDT Sudah Bersedia - Mora

Dari kiri: Kapten JDT Mohd Safiq Rahim, Mora, penolong jurulatih pasukan Kedah Mohd Nidzam Adzha dan Kapten Kedah Baddrol Bakhtiar pada sidang media di Stadium Tan Sri Hassn Yunos, Johor Baru pada Khamis menjelang perlawanan Piala Sumbangsih. Perlawanan Sumbangsih JDT bertemu Kedah akan berlangsung, Jumaat. fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) yang baharu Benjamin Mora berkata pasukannya sudah bersedia untuk menghadapi Kedah dalam Piala Sumbangsih pada Jumaat, walaupun mereka hanya dapat bersama selama dua hari.

Mora yang dilantik sebagai ketua jurulatih yang baharu berikutan pemergian Mario Gomez pada Rabu berkata beliau mewarisi pasukan juara dan berharap semoga pemain-pemainnya beraksi cemerlang.

"Saya sangat bersyukur kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan pasukan ini ... Mariohas telah meninggalkan legasi ... Saya tampil untuk membantu pemain menjadi yang terbaik dan meneruskan kejayaan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Jurulatih kelahiran Mexico itu bagaimanapun mengakui bahawa beliau  kesuntukan masa untuk melakukan perubahan besar dalam pasukannya.

"Saya lebih memberi tumpuan kepada mentaliti supaya pemain tahu dan menganggap ini ialah seperti perlawanan akhir kerana kita harus menang.

"Kita akan cuba untuk melakukan perubahan atau pengubahsuaian semasa perlawanan," katanya sambil menambah bahawa JDT akan cuba untuk menguasai permainan.

Mora yang merupakan ketua jurulatih JDT II telah menghabiskan masa sebulan di Kelab Sepanyol, Atletico Madrid, semasa di luar musim sebagai sebahagian daripada pembangunan profesional beliau untuk mempersiapkan diri mengambil alih tugasan baharu.

Sementara itu, penolong jurulatih Kedah Mohd Nidzham Adzha berkata, kekalahan 0-5 kepada JDT musim lalu telah memberi banyak peluang bagi pasukan itu untuk lebih melengkapkan persiapan musim ini walaupun JDT mempunyai jurulatih baharu.

"Kita mungkin telah dikalahkan tahun lepas tetapi dengan kehadiran pemain baharu, kita berharap perubahan akan berlaku untuk kali ini. Kita tidak tahu sebab di sebalik keputusan pihak pengurusan tetapi kita tidak memandang ringan  perlawanan ini menentang JDT.

"Kita tahu Jorge Diaz dan Martin Lucero telah meninggalkan pasukan tetapi mereka mempunyai empat lagi pemain import yang baharu dan JDT juta telah menggunakan khidmat beberapa pemain muda tempatan yang berpotensi," kata beliau.

Mohd Nidzham berkata JDT masih pasukan yang disegani walaupun melakukan perubahan dan memberi amaran kepada pemain Kedah supaya memusatkan perhatian  kepada perlawanan. - BERNAMA

Benjamin Mora, JDT, Piala Sumbangsih

Artikel Sebelum

Keputusan Copa Del Rey

Artikel Berikut

Artikel Lain