suria

LHD: Dharma Mahu Pemain Waspada Dengan Thailand

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, mahu anak-anak buahnya lebih berwaspada ketika bertemu Thailand pada perlawanan suku akhir Liga Hoki Dunia (LHD) Pusingan Kedua yang akan berlangsung pada Khamis di Stadium Tun Razak.

“Thailand yang kita temui di suku akhir nanti adalah satu pasukan yang lebih kuat daripada Kazakhstan. Kualiti mereka juga telah meningkat berbanding ketika aksi di Sukan SEA lalu,” ujarnya selepas Malaysia cemerlang membelasah Kazakhstan 13-1 pada Selasa.

Tewas 2-1 kepada juara kumpulan, Ireland pada Isnin, menyaksikan Malaysia mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan di tangga kedua, mengumpulkan enam mata selepas mencatatkan dua kemenangan termasuk menang 9-0 ke atas Hong Kong pada perlawanan pembukaan, Sabtu lalu.

Malaysia selaku naib juara Kumpulan B, bakal berdepan Thailand yang menduduki tempat ketiga kumpulan A.

Dharma juga turut mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan yang dimiliki Thailand walaupun mereka menamatkan kempen peringkat kumpulan dengan dikecewakan Wales 3-0.

“Perlawanan peringkat suku akhir merupakan pertarungan yang pastinya berbeza. Kami perlu menghormati pihak lawan (Thailand) dan tidak mengambil mudah atau memandang rendah kepada keupayaan mereka. 

“Perlawanan itu nanti pastinya merupakan satu perlawanan yang sengit,” katanya.

Terdahulu pada aksi pembukaan, Thailand menewaskan Singapura 4-0 menerusi jaringan Kornkanok Sanpoung pada minit ketujuh, selain tiga jaringan hasil pukulan sudut penalti Praphatsorn Khuiklang pada minit ke-52 dan Sirikwan Wongkaew (minit ke-57), sebelum Sanpoung melengkapkan kemenangan bergaya pasukan itu pada minit ke-58.

Kejohanan ini menawarkan slot automatik buat dua pasukan terbaik ke Pusingan Ketiga Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium atau Cape Town, Afrika Selatan pada Jun ini, yang menjadi landasan terakhir untuk ke Piala Dunia 2018, London.

Jadual Suku Akhir

(Khamis ,19 Januari 2017):

Ireland lwn Singapura (1.45pm)

Itali lwn Hong Kong (4.00pm)

Wales lwn Kazakhstan (6.15pm)

Malaysia lwn Thailand (8.30pm)

Liga Hoki Dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain