suria

Peng Soon-Liu Ying Tarik Diri Akibat Kecederaan

SIBU: Beregu campuran yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, tidak akan berentap pada Kejohanan Victor Far East Malaysia Masters di Stadium Tertutup Sibu di sini, yang bermula Selasa.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Lawrence Chew berkata mereka tidak dapat beraksi kerana Liu Ying mengalami kecederaan pada kakinya.

"Liu Ying cedera di kaki. Ini perkara biasa apabila pemain menarik diri daripada kejohanan berikutan kecederaan atau sebab-sebab tertentu," katanya  semasa meninjau persiapan akhir kejohanan itu di stadium tersebut Isnin.

Beregu pilihan pertama kejohanan itu dijadualkan bertemu pasangan Indonesia  Yehezkiel Mainaky-Lyanny Ale Mainaky pada pusingan pertama perlawanan kelayakan itu, Selasa.

Chew berkata beberapa pemain lain, yang sudah mendaftar bagi kejohanan itu, turut menarik diri tetapi nama mereka akan hanya diketahui selepas menyuarat pengurus-pengurus pasukan petang Isnin.

Sehingga kini, kira-kira 90 peratus pemain sudah tiba di Sibu dan berlatih di gelanggang kejohanan di Stadium Tertutup Sibu pada Isnin.

Sementara itu, kehadiran pemain perseorangan wanita India, Saina Nehwal bersama-sama dua rakan lelakinya di sebuah kedai makan di Jalan Tuanku Osman di sini tidak disedari pengunjung kedai berkenaan.

Seorang pengunjung Judan Bungap berkata beliau tidak mengenali pemain itu kerana tidak pernah melihatnya sebelum ini.

"Betullah, (dia) Saina Nehwal," katanya selepas melakukan pencarian di Google.

Kejohanan itu, yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$120,000 bermula dengan pusingan kelayakan pada 8.30 pagi Selasa.

Tiada bayaran dikenakan untuk masuk menyaksikan kejohanan itu di Stadium Tertutup Sibu. - BERNAMA

beregu campuran, badminton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain